MoU SC, IsDB terajui kewangan Islam peringkat dunia

Iklan
Anwar (belakang, kiri) menyaksikan majlis menandatangani MoU antara SC dan IsDB. Foto X

SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Presiden Bank Pembangunan Islam (IsDB), Dr Muhammad Al Jasser menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan IsDB.

Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, MoU tersebut merupakan kesinambungan lawatan beliau ke Pejabat IsDB di Jeddah pada tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Insya-ALLAH, MoU ini berupaya meningkatkan pembangunan kapasiti, perkongsian pengalaman, dan pelaksanaan projek-projek teknikal secara bersama antara SC dan IsDB, khususnya bagi memudah cara inovasi dalam teknologi kewangan Islam, menggalakkan aliran pelaburan asing ke dalam pasaran swasta dan pembangunan kewangan sosial Islam.

"Usaha ini juga sejajar dengan matlamat ekonomi Madani untuk memastikan Malaysia menerajui kewangan Islam di peringkat dunia,” katanya dalam hantaran di platform X pada Isnin.

Iklan

Ujar beliau, pemeteraian MoU itu dilakukan selepas selesai perbincangan bersama Muhammad, yang menumpukan pada usaha mengeratkan kerjasama antara Malaysia dan IsDB, terutama peranan Centre of Excellence IsDB di Kuala Lumpur untuk inovasi kewangan Islam.

Menurutnya, turut sertai mesyuarat berkenaan adalah Pengerusi SC, Datuk Seri Dr Awang Adek Hussin; Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Adnan Zaylani Mohamad Zahid dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.

Iklan

"Hari terakhir di Riyadh saya mulakan dengan mesyuarat bersama Muhammad.

"Ini selaras dengan peranan Malaysia yang sejak sekian lama telah menerajui pembangunan kewangan Islam, khususnya dalam aspek pembangunan produk kewangan Islam yang setanding produk kewangan konvensional.

"Saya tegaskan kepentingan untuk mengembangkan usaha menerusi pembangunan produk kewangan Islam baharu berdasarkan prinsip maqasid syariah yang mengutamakan keadilan dan perkongsian risiko serta pulangan yang saksama,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!