Isu stoking: Pengarah KK Mart, isteri akan kemuka representasi kepada AGC

Iklan
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan (tengah) dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui (dua dari kiri) akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara. Gambar fail

SHAH ALAM - Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan dan isterinya, Datin Seri Loh Siew Mui yang berdepan dua pertuduhan melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan penjualan stoking tertera kalimah ALLAH, akan mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).

Peguam Datuk Rajpal Singh yang mewakili Kee Kan, 57, dan Siew Mui, 53, memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya akan memfailkan representasi itu selepas meneliti dokumen-dokumen yang diperolehi daripada pihak pendakwaan pada Isnin.

Iklan
Iklan

"Pihak kami memohon suatu tarikh sebutan ditetapkan kerana pihak pembelaan akan memfailkan representasi,” katanya ketika sebutan kes di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Muhamad Anas Mahadzir.

Pada 26 Mac lepas Kee Kan dan Kee Kan selaku pengarah KK Supermart & Superstore Sdn Bhd mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berniat dengan sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah ALLAH di rak pameran jualan yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

Iklan

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi 13 Mac lepas, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kee Kan yang juga mewakili syarikatnya KK Supermart & Superstore Sdn Bhd turut didakwa atas pertuduhan sama.

Iklan

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Khairul Azreem Mamat berkata, pihak pendakwaan akan menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan kes kepada pembelaan hari ini selain memohon supaya kes dihadapi pasangan suami isteri itu dibicarakan bersama dengan kes membabitkan pengarah bagi syarikat pengedar Xin Jian Chang Sdn Bhd.

"Pihak pendakwaan mohon kes-kes ini dibicarakan bersama selaras dengan Seksyen 170 Kanun Tatacara Jenayah dan saya percaya pihak pembelaan tidak membantah. Pendakwaan juga memohon supaya tarikh perbicaraan ditetapkan," katanya, dan pihak pembelaan kemudiannya mengesahkan perkara berkenaan.

Turut hadir dalam prosiding pada Isnin ialah peguam Lau Yi Leong yang mewakili pasangan suami isteri Soh Chin Huat dan Goh Li Huay serta anak perempuan mereka Soh Hui San, yang merupakan pengarah bagi syarikat pengedar Xin Jian Chang Sdn Bhd.

Chin Huat, 61, dan Li Huay, 62, serta anak perempuan mereka Hui San, 36, didakwa atas pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam dalam isu berkaitan stoking tertera kalimah ALLAH pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Chin Huat yang juga mewakili syarikatnya Xin Jian Chang Sdn Bhd turut didakwa atas pertuduhan sama.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 10 Jun ini untuk pengurusan kes bagi mengetahui status representasi berkenaan.

Ketika ditemui media di luar mahkamah Rajpal berkata, pihaknya akan menghantar representasi dalam tempoh terdekat, namun masih belum membuat keputusan sama ada ia untuk menarik balik (pertuduhan) atau ada pertuduhan pilihan. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!