Dhobi Ghat Pulau Pinang: Daerah dobi terakhir di Malaysia

Iklan
Seorang pekerja Dobi, Ghanapathy melakukan kerja-kerja membasuh pakaian di perkampungan dobi yang terletak di antara Jalan Air Hitam dan Jalan York, Dhobi Ghat. Foto Bernama

GEORGE TOWN - Di satu sudut yang tenang dalam kawasan perbandaran yang sibuk dan antara bangunan dengan seni bina warisan pelbagai budaya yang indah di tengah-tengah bandar George Town, terletak sebuah perkampungan dobi, sama seperti dobi terbuka di Mumbai, India.

Terletak di antara Jalan Air Hitam dan Jalan York, Dhobi Ghat di Pulau Pinang yang telah wujud sejak awal 1800an merupakan petempatan Dhobi Ghat yang terakhir di negara ini.

Iklan
Iklan

Sebelum ini terdapat beberapa dhobi ghat di Malaysia, termasuk di Perak.

Raman melakukan rutin harian perkhidmatan dobi di perkampungan Dobi yang terletak di antara Jalan Air Hitam dan Jalan York, Dhobi Ghat. Foto Bernama

Tinjauan Bernama mendapati, kebanyakan proses mencuci di sini masih menggunakan tangan, bermula dengan mengasingkan pakaian yang kemudiannya direndam dalam air sabun sebelum tukang basuh, dikenali sebagai dhobis, memukul pakaian di atas batu khas dan senario ini mengimbau kembali suasana zaman silam.

Iklan

Yuvaraj Muthukannu, 67, yang telah mencuci pakaian sejak 1976 dan mewarisi kemahiran daripada bapanya berkata, penempatan itu, telah diduduki oleh kira-kira 100 penyedia perkhidmatan dobi tradisional India, yang dibawa dari India semasa pemerintahan British.

Yuvaraj menceritakan perkhidmatan dobi yang diusahakan. Foto Bernama

Beliau berkata, walau bagaimanapun, kini hanya tinggal sekitar 15 hingga 20 orang yang masih mengendalikan dobi terbuka ini, malah anak-anak mereka juga tidak berminat untuk mengambil alih perniagaan ini, namun Dhobi Ghat masih mengekalkan cara mereka melaksanakan kerja.

Iklan

Terkenang kepada suasana dahulu, Yuvaraj yang dilahirkan dan dibesarkan di Dhobi Ghat berkata, bapanya bersama yang lain, pernah mencuci pakaian di sungai dengan air terjun sebelum kawasan perumahan dibangunkan di kawasan itu, kerana ketika itu air sungainya bersih.

Raman mengasingkan pakaian mengikut bahan dan warna. Foto Bernama

"Setiap Sabtu hampir 100 orang akan membasuh pakaian di sungai ini pada waktu yang sama, malah ada pedagang dari India yang akan datang untuk mandi di sini, kerana berdekatan dengan Pelabuhan Pulau Pinang manakala petugas majlis perbandaran pula akan membersihkan sungai ini setiap Isnin,” katanya.

Menurut papan maklumat di Kuil Sri Ramar yang dibina di penempatan Dhobi Ghat, tempat itu telah dibangunkan oleh seorang tukang cuci wanita India yang dikenali sebagai Rhanee, yang juga pemilik tanah tersebut selepas ia diberikan kepadanya pada 2 Mei 1802 oleh Gabenor Leftenan Kepulauan Prince of Wales (Pulau Pinang) yang pertama Sir George Leith Boranet, di bawah Syarikat Hindia Timur.

Penempatan itu juga telah dikenali sebagai Rhanee Dhoby pada tahun 1800an dan sentiasa diingati sebagai ‘Vanna Thora Tedal’ dalam bahasa Tamil dalam kalangan masyarakat India di sini, yang bermaksud daerah dobi.

Sementara itu, seorang pencuci pakaian lelaki generasi ketiga, Raman Angko, 61, berkata, masih ramai orang terutamanya masyarakat India, menghantar pakaian mereka seperti saree, sut punjabi dan dhotis, untuk cucian pakaian secara tradisional, kerana bimbang pakaian mereka akan rosak apabila menggunakan mesin basuh atau cucian secara moden.

Raman merendam pakaian terutama dhotis berwarna putih dalam air panas selama beberapa minit, untuk membunuh kuman dan menyerlahkan keputihan. Foto Bernama

"Tempoh masa seminggu diperlukan untuk proses membasuh pakaian. Mula-mula saya akan menyusun pakaian dan mengasingkannya mengikut bahan dan warna. Selepas itu rendam, basuh dengan air, sabun dan beberapa bahan kimia tradisional yang diimport dari India.

"Kemudiannya kami menyental dan membilas menggunakan tangan, sebelum dijemur di bawah sinaran matahari dan seterusnya menyeterika menggunakan seterika arang, kerana ia mempunyai suhu yang sesuai untuk tahan lebih lama. Saya juga merendam pakaian terutama dhotis berwarna putih dalam air panas selama beberapa minit, untuk membunuh kuman dan menyerlahkan keputihan,” katanya.

Raman menjemur pakaian yang dibasuh. Foto Bernama

Walaupun pendapatan bekerja sebagai tukang cuci di Dhobi Ghat tidak seberapa, Raman berkata, dia menjalani kehidupan dengan sempurna dan dengan sepenuh hatinya akan meneruskan legasi datuk dan bapanya itu.

Malah, beliau menyifatkan dirinya sebagai penggemar ‘seni dobi’ dan berbangga dengan profesionnya itu, walaupun mengetahui hakikat bahawa selepas beliau, legasinya itu tidak akan diteruskan lagi di Pulau Pinang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!