Kenaikan gaji kurangkan isu integriti - MCW

Iklan
Jais

SHAH ALAM - Kenaikan gaji penjawat awam dapat mengurangkan gejala rasuah sekali gus meningkatkan integriti dan motivasi kehidupan kumpulan itu di negara ini.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, ia kerana terdapat kaitan yang tinggi di antara faktor rasuah dan kos sara hidup.

Iklan
Iklan

"Ramai penjawat awam memberi alasan mereka berdepan tekanan kewangan hingga terpaksa membuat pilihan termasuk menerima rasuah atau berhutang bagi memenuhi keperluan keluarga.

"Kenaikan gaji adalah perkara asas yang perlu bagi memenuhi keperluan penjawat awam kerana masalah integriti berkait rapat dengan tekanan kewangan dan ketidakseimbangan ekonomi," katanya pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata demikian mengulas laporan Sinar Harian berkaitan lima penjawat awam direman tiga hari bermula pada Rabu bagi membantu siasatan kes menerima suapan berjumlah RM3,000 hingga RM15,000 daripada kontraktor berkait kerja pembersihan antara 2018 hingga 2020.

Perintah reman terhadap empat lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 32 hingga 42 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman di Mahkamah Majistret Shah Alam selepas mendapat permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menjalankan siasatan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Iklan

Menurut sumber SPRM, mereka dipercayai telah melakukan kesalahan berkenaan antara 2018 hingga 2020 sebagai balasan untuk tidak mengenakan pemotongan bayaran kepada kontraktor bagi kerja-kerja kontrak pembersihan di sebuah premis pihak berkuasa tempatan.

Jelas Jais, gaji yang mencukupi terbukti berjaya meningkatkan mutu perkhidmatan dan profesionalisme kakitangan awam seperti di negara maju yang lain.

Ujar beliau, Indonesia juga sudah memberi kenaikan gaji khas lapan peratus untuk penjawat awam di negara tersebut.

"Pemikiran yang segar tanpa perlu memikirkan mengenai kekangan kewangan sudah pasti akan membolehkan mereka fokus kepada tugasan harian. Ini adalah perkara normal setiap manusia.

"Bagaimanapun, kenaikan gaji mesti disertakan dengan penambahbaikan mutu pekerjaan terutama berkaitan integriti," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!