Lelaki direman seminggu miliki 823 pil yaba

Iklan
Polis menyita sebuah kereta ketika serbuan di di sebuah bangsal kereta di Taman Wira, Kampung Kedap, Rantau Panjang. Gambar kecil: Pil yaba yang dirampas.

KOTA BHARU - Seorang lelaki ditahan reman selama tujuh hari bermula Jumaat bagi membantu siasatan berkaitan rampasan 823 biji pil yaba dalam serbuan di Taman Wira, Kampung Kedap, Rantau Panjang.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, lelaki berusia 23 tahun itu disyaki memiliki 76.5 gram (g) pil yaba dengan nilai kira-kira RM12,345.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, ketika serbuan kira-kira jam 12.30 tengah hari Jumaat itu, suspek berada di sebuah bangsal kereta.

"Sepasukan pegawai dan anggota serbuan dari Balai Polis Rantau Panjang terus ke lokasi berkenaan sebaik sahaja menerima maklumat," katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Beliau memberitahu, ujian saringan awal air kencing turut mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine.

"Bagaimanapun, hasil semakan yang dilakukan suspek tidak mempunyai rekod kesalahan lampau," katanya.

Iklan

Jelas beliau lagi, tindakan juga diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 dengan sitaan masing-masing sebuah motosikal dan kereta dianggarkan bernilai RM25,000.

"Nilai keseluruhan dadah dan harta yang dirampas ialah RM37,345," katanya.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Mas di talian 09-7932222 atau ke balai-balai yang berdekatan bagi membantu aktiviti berkaitan penyalahgunaan dadah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!