Kontroversi UM: Sarjana ‘berkualiti rendah’ tak patut dijemput

Iklan
Anwar ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Kampus dan Pecah Tanah Pusat Simulasi Penerbangan Akademi Malaysia Airline Berhad (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada Jumaat. Foto Bernama

SEPANG - Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat menyindir ahli akademik Amerika Syarikat (AS) yang terbabit dalam isu kontroversi pro-Israel sebagai sarjana berkualiti rendah dan tidak mempunyai pencapaian luar biasa atau istimewa.

Perdana Menteri menegaskan, sarjana yang bertaraf sedemikian tidak sepatutnya menjadi profesor jemputan di universiti tempatan.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Profesor Sains Politik, Bruce Gilley yang didakwa menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh Malaysia tidak selamat ketika menjadi pensyarah jemputan di Universiti Malaya (UM), baru-baru ini.

"Mediocre scholar (sarjana tidak mempunyai pencapaian luar biasa atau istimewa dalam bidang akedemiknya) tidak sepatutnya dibawa sebagai profesor jemputan, dari awal lagi,” katanya ringkas kepada pemberita pada Jumaat.

Iklan

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Kampus dan Pecah Tanah Pusat Simulasi Penerbangan Akademi Malaysia Airlines Bhd (MAB) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini.

Bagaimanapun, Perdana Menteri enggan mengulas kerana isu berkenaan telah dijawab oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Iklan

"Selebihnya telah dijawab oleh Menteri KPT,” tambahnya.

Sebelum ini, UM menerima kecaman kerana membenarkan Gilley menyebarkan propaganda Zionis dan menuduh ahli politik Malaysia yang menyokong perjuangan Palestin menyebarkan kebencian terhadap Yahudi.

Gilley turut dikatakan menuduh ahli politik Malaysia menggesa 'Holocaust kedua' atau pembunuhan beramai-ramai terhadap orang Yahudi dan juga menyerang bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Hal itu mendapat reaksi kurang senang daripada pengguna internet yang mempersoalkan akaunnya, manakala yang lain mengkritik UM kerana menjemput penceramah pro-Zionis.

Pada Khamis, UM tampil memohon maaf kepada semua pihak sambil melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan kontroversi dibuat Gilley, ketika tampil sebagai penceramah jemputan universiti itu.

Pusat Komunikasi Korporat (CCC) UM dalam kenyataannya, berasa kesal dengan kenyataan kontroversi yang tidak menghormati sentimen masyarakat seperti tular di laman media sosial.

UM difahamkan telah melancarkan siasatan terhadap ucapannya, dan telah membatalkan satu lagi ceramah Gilley anjuran Institut Pengajian China di universiti itu.

Tinjauan di akaun X Gilley mendapati dia telah memadamkan semua hantaran berkaitan ucapan mahupun kenyataan berbaur propaganda Israel yang dikeluarkan di Kuala Lumpur. - Awani