JKDM beli 20 ekor anjing pengesan dadah libat kos RM1.9 juta

Iklan
Sazali (kiri) menunjukkan bungkusan dadah yang dirampas di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan hari ini.

NILAI - [DIKEMAS KINI] Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam proses perolehan mendapatkan 20 ekor anjing pengesan dadah bagi membanteras sindiket penyeludupan pengedaran dadah di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah JKDM (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Sazali Mohamad berkata, anjing jenis German Shepherd dan Labrador itu dijangka akan diterima Jun ini yang melibatkan kos RM1.9 juta.

Iklan
Iklan

"JKDM dalam proses untuk mendapatkan tambahan anjing pengesan dadah dan anjing itu dibeli daripada pelbagai negara antaranya India dan Australia.

"Ia dijangka sampai Jun ini dan akan diletakkan di setiap negeri untuk mengesan kes penyeludupan dadah.

Iklan

"Buat masa ini JKDM mempunyai 20 ekor anjing di seluruh negara," katanya pada sidang akhbar di Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM di Kampung Jijan, di sini pada Jumaat.

Menurutnya, JKDM juga dalam proses tender untuk membeli tiga mesin pengimbas mudah alih jenis 'back scatter' bagi mengesan kes penyeludupan dadah terutama yang dibawa masuk menggunakan kontena.

Iklan

Selain itu, pihaknya juga sedang mengkaji keberkesanan sistem saringan bungkusan parcel digunakan di lapangan terbang Korea yang mempunyai keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Sistem digunakan lebih canggih dan sekiranya kita ada sistem seumpama itu, ia akan lebih membantu untuk mengesan dadah," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, perkhidmatan kurier menyumbang sebanyak 73 peratus daripada jumlah perolehan kes penyeludupan dadah yang berjaya ditumpaskan JKDM dalam tempoh Januari sehingga Mac ini.

Jelasnya, ia membabitkan 139 kes narkotik dengan nilai rampasan RM30 juta.

"Lima jenis komoditi dadah utama yang dirampas adalah methamphetamine seberat 770.85 kilogram (kg) bernilai RM27 juta yang melibatkan 27 kes, heroin (lima kes, 6.84kg bernilai RM594,652) dan ekstasi (tujuh kes, 8.79kg bernilai RM586,395).

"Selain itu, ganja (56 kes, 55kg bernilai RM282,545) dan ketamin (dua kes, 1.57kg bernilai RM231,345)," katanya.

Dalam pada itu katanya, antara 7 April hingga 22 April lalu, pihaknya telah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah bernilai RM2.4 juta seberat 70kg.

Sazali berkata, modus operandi kesemua kes tersebut ialah dengan mengikrarkan dadah yang dihantar dengan menggunakan khidmat pengendali kurier sebagai alat perkakasan, makanan dan seluar.

"Bagi kes pada 7 April, JKDM telah menyita dua kotak yang diikrar sebagai 'hardware tools' di Kompleks Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Hasil pemeriksaan telah menjumpai bungkusan teh herba Cina mengandungi bahan kristal jernih disyaki dadah jenis ketamin seberat 6kg dianggarkan bernilai RM30,000 dan bungkusan makanan kering mengandungi bahan kristal jernih disyaki methamphetamine seberat 27.65 kg dianggarkan bernilai RM884,800," katanya.

Tambahnya, bagi kes pada 18 April lalu pula, pihaknya telah menyita tiga bungkusan yang diikrar sebagai seluar di sebuah premis pengendali perkhidmatan kurier di Subang Jaya, Selangor.

Jelasnya, hasil pemeriksaan daripada tiga bungkusan tersebut telah menjumpai bungkusan teh herba Cina yang mengandungi bahan kristal jernih disyaki methamphetamine seberat 40.2kg dianggarkan bernilai RM1.28 juta.

"Siasatan awal mendapati dagangan dihantar dari cawangan pengendali pejabat perkhidmatan kurier di Kedah dan kemudian dihantar ke hub Ibu Pejabat Perkhidmatan Kurier di Subang Jaya, Selangor menggunakan laluan darat sebelum dihantar ke Kuching, Sarawak menggunakan laluan udara.

"Bagi kes ketiga pada 24 April, kita telah menyita satu kotak bungkusan yang diikrar sebagai makanan ringan di Pos Malaysia International Hub, Kargo KLIA dan pemeriksaan lanjut menjumpai plastik lut sinar mengandungi bahan leraian tumbuhan hijau disyaki kanabis seberat 1,258 gram bernilai RM4,000," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!