Hanya 1.6 juta perniagaan daftar SSM aktif

Iklan
Statistik pendaftaran entiti perniagaan di Malaysia. (Norhaiza Jemon)

KUALA LUMPUR - Sebanyak 9,208,607 perniagaan direkodkan mendaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) setakat 31 Mac lalu.

Pengarah Bahagian Pematuhan Korporat SSM, Norhaiza Jemon berkata, daripada jumlah itu, hanya 1,638,025 didapati aktif.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berdasarkan rekod berkenaan, lebih 7.7 juta merupakan milikan tunggal, manakala selebihnya merupakan perkongsian.

"Bagi jumlah syarikat yang mendaftar pula, terdapat sebanyak 1,547,394 tetapi yang aktif hanya 673,393 syarikat.

Iklan

"Jumlah syarikat yang mendaftar didominasi oleh syarikat tempatan iaitu sebanyak 1,542,392 dan hanya 5,002 syarikat milik asing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program SSM Insight: Akta Syarikat (Pindaan) 2024 di Menara SSM di sini pada Khamis.

Iklan

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz.

Sebahagian peserta program SSM Insight: Akta Syarikat (Pindaan) 2024 di Menara SSM

Mengulas mengenai Akta Syarikat (Pindaan) 2024 yang dikuatkuasakan pada 1 April lalu, Norhaiza berkata, terdapat dua fokus utama undang-undang itu ditambah baik.

"Pertamanya, memperkukuhkan kerangka rehabilitasi korporat dengan memudah cara syarikat yang menghadapi masalah kewangan, menyokong pemulihan ekonomi negara agar terus berdaya saing terutama dalam era pasca pandemik Covid-19.

"Kedua, mempertingkatkan elemen ketelusan dalam ekosistem sektor korporat di Malaysia melalui penambahbaikan pelaporan pemunyaan benefisial," katanya.

Beliau dalam masa sama, turut berharap agar syarikat yang berdepan masalah kewangan menggunakan sepenuhnya akta yang ditambah baik itu supaya dapat meneruskan operasi dengan baik.

"Kita juga harap masyarakat awam turut didedahkan mengenai akta baharu ini demi kebaikan bersama," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!