Kulai sedia main peranan dalam pembangunan JSSEZ

Iklan
MPKu terus memainkan peranan utama dalam pembangunan di kawasan Kulai yang bersempadan dengan Johor Bahru dan Iskandar Puteri

KULAI - Daerah Kulai sedia menyumbang dan memainkan peranan dalam pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), Mohd Fahmi Salam berkata, daerah ini bakal menerima pelaburan baharu daripada pembangunan JSSEZ selain mempunyai pelbagai tawaran serta tarikan tersendiri.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, lima kawasan industri utama, Ibrahim Technopolis (Ibtec) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) di sini akan terlibat secara signifikan.

"Lima kawasan industri utama itu akan menerima pelaburan besar dalam tempoh beberapa tahun akan datang termasuk akan ada YTL Green Data Centre Park pula.

Iklan

"Begitu juga Melbourne Women dan Children Health dan Putera Specialist Hospital akan dibuka di Kulai. Ia akan menjadikan daerah ini sebagai destinasi perkhidmatan kesihatan yang baharu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat MPKu di Dewan Persidangan Bangunan MPKu di sini pada Khamis.

Iklan

JSSEZ adalah sebuah zon ekonomi khas dan bersepadu bagi perniagaan dan pelaburan yang bertujuan memudahkan aliran rakyat dan barangan merentasi sempadan antara dua negara diumumkan pada Oktober tahun lalu.

Mohd Fahmi (dua dari kiri) menyampaikan cenderamata selepas Mesyuarat MPKu Bilangan 4/2024 di Dewan Persidangan Bangunan MPKu di Kulai pada Khamis

Pelaksanaan zon ekonomi khas itu dijangka dapat memudahkan pergerakan manusia, barangan dan perkhidmatan antara kedua-dua negara selain dilihat mampu meningkatkan nilai perdagangan, peluang pekerjaan, pelaburan serta pentadbiran yang lebih berkesan.

Mohd Fahmi berkata, selain itu daerah ini juga sedang mengalami pembangunan pesat menerusi projek-projek berimpak tinggi seperti pelebaran Lebuhraya Utara Selatan, cadangan pelaksanaan projek Sistem Aliran Transit Automasi Bertingkat (ART) dan penambahan laluan antarabangsa LTAS.

Pada masa sama katanya, MPKu konsisten dalam usaha meningkatkan infrastruktur awam antaranya untuk menangani banjir, membantu sosio ekonomi masyarakat khususnya yang memerlukan, mengatasi masalah gangguan bekalan air dan mewujudkan institusi pengajian pendidikan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, MPKu buat pertama kali sedang menyediakan input dalam penyertaan dokumen Rancangan Tempatan Daerah (RTD) Kulai 2035 yang akan dimuktamad dan diserahkan pada September ini.

Mohd Fahmi (tengah) Bersama barisan ahli majlis baharu dan lama selepas Mesyuarat MPKu di Dewan Persidangan Bangunan MPKu di Kulai pada Khamis

Menurutnya, usaha tersebut akan dimasukkan dalam penyediaan Bajet MKPu 2025 yang kini dalam proses penyediaan bagi memastikan kesinambungan pembangunan di sini.

"Antara tumpuan yang akan diberi dalam dokumen RTD tersebut adalah masalah aliran trafik, pengurusan tanah, memasang 300 kamera litar tertutup dan memastikan pembangunan yang dilakukan bersifat mapan, lestari serta memelihara alam sekitar.

"Sebanyak 70 peratus status tanah di Kulai adalah tanah pertanian dan kita menerima permintaan terhadap kawasan perindustrian meningkat.

"Pemasangan CCTV pula akan dipasang dalam 1 Mei ini dan secara keseluruhan mengambil masa tiga hingga empat tahun pemasangan," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, sempena genap 20 tahun penubuhan MPKu pada 21 April lalu, pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut merangka pelbagai program berbentuk kemasyarakatan dan program pembangunan fizikal.

"Evolusi MPKu sebagai PBT bertaraf perbandaran telah melalui satu tempoh panjang dalam menyediakan pembangunan menyeluruh.

"Pencapaian dari sebuah bandar setelit industri dan logistik serta bergerak ke hadapan, MPKu komited meneruskan pembangunan ini sebagai sebuah destinasi pelaburan utama Johor," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!