Gunakan teknologi demi keharmonian kaum

Iklan
Gambar hiasan

KECANGGIHAN teknologi maklumat pada hari ini sepatutnya digunakan ke arah kebaikan terutama bagi menyampaikan maklumat yang boleh menyemai perpaduan antara kaum di Malaysia agar rakyat di negara ini dapat hidup harmoni.

Namun begitu, Ahli Pertubuhan Keamanan Sedunia, Dr S Raja Rajeswari berkata, ada pihak mengambil peluang memecahbelahkan perpaduan antara kaum dengan menyebarkan berita palsu yang akhirnya mewujudkan prejudis dalam kalangan rakyat.

Iklan
Iklan

"Secara peribadi saya tidak mahu menyalahkan teknologi maklumat ini kerana kalau kita gunakan demi kebaikan, ia akan membawa kepada kebaikan bersama.

"Saya fikir perkembangan teknologi maklumat ini menyebabkan banyak berita palsu, kurang tepat dan bukan daripada sumber sahih yang menyentuh sensitiviti kaum telah mempengaruhi rakyat di negara ini,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Iklan

Beliau turut menyifatkan kebanyakan masyarakat hari ini terlalu taksub dengan paparan skrin telefon menyebabkan mereka terlupa bagaimana cara untuk membuat penilaian baik atau buruk sesuatu perkara yang tersebar di alam maya.

"Saya rasa kerajaan perlu melaksanakan penguatkuasaan supaya maklumat atau perkara tidak benar tidak tersebar tanpa kawalan. Setiap kebebasan itu ada hadnya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Hubungan kaum, agama semakin parah di Malaysia

"Kebebasan itu perlu dipandu dengan undang-undang bagi mendidik masyarakat. Setiap usaha bagi memecahbelahkan kaum melalui isu perkauman perlu dihentikan. Tindakan segera perlu diambil kerana ia akan mengeruhkan lagi keadaan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kempen Uninstall Hatred:Reboot Malaysia & Global Harmony, Raja Rajeswari menyokong usaha Penerbit Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub yang mahu memastikan sebarang bentuk kebencian antara kaum ditolak di negara ini.

Katanya, komunikasi secara langsung antara dua individu lebih baik berbanding menggunakan perantara seperti pesanan di WhatsApp kerana dalam kecanggihan itu wujud kelemahannya yang tersendiri.

"Kadang-kadang apa yang kita cuba sampaikan menerusi pesanan di aplikasi boleh disalahtafsirkan oleh orang lain dengan kefahaman berbeza dengan apa yang cuba kita sampaikan.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Jaysuman Pusppanathan berkata, punca kepada ketegangan antara kaum di negara ini adalah kerana kurangnya komunikasi berkualiti antara masyarakat.

"Sebagai contoh, kita sering menggunakan Facebook tetapi tidak face each other (saling bersemuka). Kita tidak boleh salahkan teknologi semata-mata kerana ia akan terus berkembang mengikut peredaran zaman tetapi manusia kini gagal mengimbanginya dalam kehidupan harian.

"Kita bersembang menggunakan aplikasi yang tidak boleh mengekspresikan atau memberikan emosi kepada orang lain,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia ini diibaratkan sebagai sebuah kapal di mana anak kapal itu terdiri daripada pelbagai kaum dan jika isu perkauman terus disemarakkan, rakyat saling bergaduh ia akan karam.

"Justeru kempen Uninstall Hatred:Reboot Malaysia & Global Harmony ini merupakan inisiatif baik bagi memastikan rakyat di negara ini hidup secara harmoni dan saling menghormati,” katanya.