Kerajaan Sabah alami defisit hampir RM1 bilion bagi baiki, selenggara jalan

Iklan
Kerajaan Sabah mengalami defisit hampir RM1 billion bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya di negeri ini. Gambar hiasan Bernama

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah mengalami defisit hampir RM1 billion bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan raya di negeri ini, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu pada Rabu.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya yang juga Menteri Kerja Raya negeri berkata, pada tahun lepas kerajaan Persekutuan menyediakan RM625 juta sebagai geran dan kerajaan negeri menyalurkan caruman RM350 juta untuk menjalankan kerja-kerja tersebut.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan laporan jalan raya negeri itu pada tahun lepas sepanjang 710 kilometer (km) jalan negeri adalah dalam keadaan yang teruk manakala 126 km lagi adalah dalam keadaan sangat kritikal.

"Pembaikkan ini sahaja dianggarkan memakan belanja kira-kira RM1.8 billion. Jadi dengan caruman dan geran yang ada, kita mempunyai difisit dalam mengatasi atau melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan jalan ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketikamenggulung perbahasan usul ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin atas ucapan dasar kerajaan negeri melibatkan kementeriannya pada persidangan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri II Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, kementeriannya akan memperkenalkan kaedah pengurusan sisa pepejal terkumpul dengan kaedah pirolisis secara percubaan.

Iklan

"Ia dimulakan di Majlis Perbandaran Sandakan dan Majlis Daerah Papar dalam tempoh terdekat ini selaras dengan Dasar Kebangsaan yang menumpukan kepada peralihan pengurusan sisa pepejal ke arah ekonomi kitaran," katanya menggulung perbahasan bagi kementeriannya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!