Ada banyak cara buat baik kepada orang lain

Iklan
Penduduk, Lee Kim Chin, 65, menunjukkan 'jalan tikus' untuk memudahkan pengguna jalan raya pulang ke ibu kota selepas cuti Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini. Foto Bernama

KEIKHLASAN hati penduduk Cina di Kampung Baru Palawan dekat Langkap yang membantu membuka jalan baharu bagi memudahkan orang Melayu balik semula ke ibu kota Sabtu lalu mengundang rasa kagum rakyat Malaysia.

Kisah itu tular di pelbagai platform media sosial selepas dikongsi seorang pengguna yang mengambil keputusan melalui jalan pintas ketika perjalanan pulang dari Perak menuju ke Kuala Lumpur sempena perayaan Aidilfitri.

Iklan
Iklan

Majoriti warganet memuji sikap toleransi dan peduli yang ditunjukkan penduduk kawasan itu meskipun berbeza fahaman dan agama.

Tidak kurang yang berkongsi harapan mereka agar suasana harmoni tersebut terus disebarkan supaya dapat mengukuhkan kembali silaturahim pelbagai bangsa dan agama di negara ini.

Iklan

Media sosial yang kebiasaannya menjadi senjata memanaskan persengketaan dengan cukup pantas, beralih kepada mesej yang mengajarkan kebaikan.

Kata-kata curiga dan prasangka antara kaum yang dahulu kedengaran diganti dengan perdamaian sesama insan.

Iklan

Saya percaya, usaha yang ditunjukkan penduduk Cina di kampung terbabit dengan meratakan jalan ladang sawit menggunakan jentolak hanyalah satu daripada beribu kisah keharmonian yang tidak terungkap.

Ini kerana naluri dan sifat semula jadi manusia walau apa juga bangsa adalah untuk menolong orang dalam kesusahan.

Keinginan untuk membantu orang lain memerlukan hati yang ikhlas, bukan bersandar kepada perbezaan bangsa dan agama.

Masih ingat tindakan sekumpulan pemuda India membantu membersihkan masjid yang terjejas banjir di Klang, Selangor.

Keprihatinan sukarelawan terhadap mangsa banjir tanpa mengira bangsa dan agama, itu sehinggakan slogan ‘Rakyat Bantu Rakyat’ tular dalam media sosial.

Legasi hidup aman harmoni seumpama ini lebih penting dipertahankan berbanding unsur baharu yang boleh memecahbelahkan masyarakat.

Ibarat cubit paha kanan, paha kiri turut terasa. Begitulah gambaran rakyat Malaysia yang saling memerlukan, membantu satu sama lain dan bersatu hati demi mempertahankan keharmonian yang telah wujud untuk selamanya.

Hakikatnya, sikap hormat-menghormati, kesefahaman dan toleransi kaum telah menjadi amalan rakyat negara ini sejak dahulu.

Ia menjadi satu pegangan yang terasimilasi secara semula jadi sejak negara mencapai kemerdekaan.

Hanya kumpulan tertentu yang mungkin sedikit terpesong cuba membawa unsur negatif untuk merosakkan hubungan masyarakat.

Rakyat Malaysia perlu yakin bahawa resipi paling utama dalam membangunkan negara yang terhormat adalah dengan memperkukuh hubungan kaum selain membentuk rasa cinta kepada hidup harmoni.

Ia adalah kunci keamanan dalam sebuah negara yang rakyatnya berbilang kaum dan bangsa bagi mencapai maksud dan semangat #KitalahMalaysia.

Pernah dilaporkan, demografi masyarakat yang berbilang kaum menjadikan negara ini teladan kepada dunia, sehinggakan Jepun turut mengkaji dan menilai bagaimana Malaysia mampu mengadaptasi dan hidup secara harmoni.

Malaysia mula dijadikan sebagai kajian kes untuk rujukan mereka kerana dilihat sebagai model negara berbilang kaum yang berjaya di mata Jepun.

Usaha memperkukuh keharmonian antara masyarakat pelbagai kaum di negara ini turut dirintis kerajaan menerusi Inisiatif Harmoni Madani yang akan dilancarkan Jun depan.

Inisiatif oleh Kementerian Perpaduan itu antara lain memperkukuh kesedaran terhadap kepelbagaian agama yang bukan hanya memperkaya identiti nasional, tetapi juga menyatukan rakyat.

* Normawati Adnan ialah Wartawan Sinar Harian Perak

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!