Helikopter TLDM terhempas: 'Arwah orang yang baik, tegas dan hormat orang tua'

Iklan
Mohd Nazri (tengah) ditemui pemberita di rumah keluarga Allahyarham Mohammad Amirulfaris di Taman Senawang Perdana

SEREMBAN - Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi yang terkorban dalam nahas membabitkan pertembungan dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Selasa disifatkan jiran sebagai seorang yang baik.

Jirannya, Mohd Nazri Abu Samah, 55, berkata, kali terakhir dia bertemu dengan Allahyarham hujung tahun lalu, ketika Allahyarham pulang menziarahi keluarganya.

Iklan
Iklan

"Arwah ini orang yang baik, tegas dan hormat orang tua. Dia sudah berkahwin dan tak silap saya mempunyai dua anak yang mana mereka tinggal di Sabah kerana dia bertugas di sana.

"Bila saya dengar berita ini semestinya saya sedih kerana arwah seorang yang baik, begitu juga keluarganya," katanya ditemui pemberita di rumahnya di Taman Senawang Perdana di sini pada Selasa.

Iklan
Mohd Nazron

Menurutnya, Allahyarham merupakan anak sulung dari empat beradik dan mereka saling mengenali sejak keluarganya berpindah ke situ pada tahun 2018.

Ujarnya, dia hanya mengetahui kejadian menimpa Allahyarham sebaik pulang ke rumah apabila mendapati isterinya tiada di rumah.

Iklan

"Bila saya pergi ke rumah keluarga arwah, barulah saya tahu insiden berlaku turut melibatkan. Saya betul-betul tak sangka dan ketika saya berjumpa ibu bapanya, mereka dalam keadaan sedih dan masih terkejut.

"Mereka telah pergi ke Lumut, Perak tengah hari tadi (Selasa) untuk urusan jenazah arwah dan saya telah diamanahkan untuk menjaga rumah mereka," katanya.

Tambahnya, beberapa penduduk di sini turut datang menziarahi keluarga Allahyarham dan membantu membuat persediaan sekiranya jenazahnya dibawa pulang ke sini.

Bagaimanapun katanya, dia menunggu perkembangan lanjut daripada keluarga Allahyarham.

TLDM pada Selasa mengesahkan 10 anggotanya meninggal dunia dalam kejadian pada 9.32 pagi tadi yang melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga lagi kru Fennec TLDM.

Terdahulu Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri dilaporkan berkata, mangsa terdiri daripada tujuh lelaki dan tiga wanita merupakan anggota dari Pangkalan TLDM Lumut dan Kota Kinabalu.

Menurutnya, semasa kejadian semua kru terlibat sedang mengikuti sesi latihan sempena Perbarisan Hari TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut melibatkan pesawat HOM (M503-3) dan pesawat Fennec.

Berdasarkan maklumat dikongsi, selain Mohammad Amirulfaris, enam lagi kru yang menaiki Pesawat HOM AW139 dikenal pasti sebagai Komander Muhammad Firdaus Ramli; Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Wan Zainal Abidin; Leftenan Komander Muhammad Faisol Tamadun; Noorfarahimi Mohd Saedy, Noor Rahiza Anuar dan Joanna Felicia anak Rohna.

Tiga lagi kru menaiki Pesawat Fennec dikenali Komander Muhamad Amir Mohamad; Leftenan T Sivasutan dan Mohd Shahrizan Mohd Termizi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!