Tergamak beli dadah hasil sedekah orang ramai

Iklan
Penggangur tersebut bersama isteri dan dua anak dikatakan tidur di dalam kereta hadapan sebuah bank di Sungai Petani selama seminggu sebelum dibantu Madadcare. (Gambar kecil: Peralatan bagi tujuan hisap dadah yang ditemukan oleh pemilik rumah selepas sehari keluarga itu tinggal di rumah berkenaan.)

SUNGAI PETANI - Perbuatan seorang penganggur yang menggunakan duit sedekah orang ramai untuk membeli dadah terbongkar selepas pemilik rumah didudukinya mendapati kediaman itu dijadikan port untuk menghisap dadah.

Difahamkan, rumah diduduki lelaki berusia 24 tahun bersama isteri dan dua anaknya itu adalah hasil bantuan Murtadha Dakwah Centre (Madadcare) apabila mereka dikatakan tidur di dalam kereta di hadapan sebuah bank di Sungai Petani selama seminggu kerana tiada tempat tinggal selepas didakwa diusir oleh bapa saudara.

Iklan
Iklan

Ketua Operasi Bantuan Murtadha Dakwah Centre (Madadcare), Muhammad Ridzuan Osman berkata, lelaki itu bersama keluarganya mendapat bantuan bulanan bakul makanan daripada pihaknya sejak setahun lalu.

Menurutnya, badan bukan kerajaan itu mendapatkan sebuah rumah untuk mereka tinggal sementara terutama buat anak berusia setahun lapan bulan dan sembilan bulan.

Iklan

"Baru semalam kami bantu keluarga itu dapatkan rumah bagi tempat tinggal sementara, tapi rumah itu sudah pun jadi 'port' hisap dadah dalam tempoh 24 jam.

"Kami akui terkejut apabila tuan rumah memaklumkan perkara itu selepas dia ke rumah tersebut untuk melihat keadaan anak-anak mereka," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Iklan

Muhammad Ridzuan berkata, satu laporan polis dibuat sebelum lelaki berkenaan ditahan polis di tepi Jalan Kampung Binjul Dalam Tawar, Baling pada petang Khamis.

"Lelaki itu mengaku duit minta sedekah digunakan untuk membeli dadah," ujarnya.

Jelasnya, dua anak pasangan berkenaan diserahkan kepada keluarga isteri lelaki berkenaan di Kuala Ketil, Baling.

Difahamkan, lelaki terbabit mengakui membeli dadah selepas meminta sedekah daripada orang ramai di kawasan bank dan kedai makan di sekitar Sungai Petani.

Lelaki berusia 24 tahun itu bersama isterinya dikatakan membawa dua anak yang didakwa mengidap pelbagai penyakit dan memohon bantuan orang untuk merawat anak mereka sejak lebih setahun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat mengesahkan penahanan lelaki itu namun isteri suspek hanya diambil keterangan sebelum dibebaskan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas lelaki berkenaan menjumpai satu peket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis heroin dengan berat 7.31 gram yang dipegang di tangan kiri suspek.

"Tangkapan dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Baling untuk tindakan lanjut. Ujian saringan awal mendapati suspek positif dadah.

"Hasil soal siasat awal pula, suspek mengaku barang kes yang dirampas adalah miliknya" kata beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!