Rayuan pendakwaan terhadap keputusan kes kematian Zulfarhan didengar 14 Mei

Iklan
Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik berbincang bersama para peguam yang mewakili bekas penuntut UPNM ketika ditemui media bagi sebutan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berkaitan kes kematian Pegawai Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain di Mahkamah Rayuan Istana Kehakiman hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini menetapkan tiga hari bermula 14 Mei untuk mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atas kesalahan menyebabkan kematian tanpa niat Pegawai Kadet Laut UPNM, Zulfarhan Osman Zulkarnain.

Peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Muhammad Najib Mohd Razi selaku responden berkata, prosiding pendengaran rayuan itu, ditetapkan pada 14 hingga 16 Mei ini.

Iklan
Iklan

"Pada hari sama, mahkamah juga akan mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima daripada enam bekas penuntut UPNM itu, serta 12 rakannya kerana mencederakan Zulfarhan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas prosiding sebutan kes itu.

Terdahulu, pada prosiding itu, panel tiga hakim diketuai Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail membenarkan permohonan pihak pendakwaan selaku perayu, untuk memfailkan petisyen rayuan di luar tempoh masa selepas Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd Dusuki Mokhtar, memaklumkan tiada bantahan daripada pihak responden terhadap permohonan tersebut.

Iklan

Dua hakim yang turut bersidang ialah Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azmi Ariffin.

Kesemua 18 bekas penuntut UPNM yang kini berumur 28 tahun, hadir pada prosiding hari ini.

Iklan
Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain

Pada 2 Nov 2021, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut Universiti UPNM, kerana didapati bersalah atas pertuduhan menyebabkan kematian tanpa niat Zulfarhan.

Mereka ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib, Muhammad Afif Najmudin Azahat, Mohamad Shobirin Sabri dan Abdoul Hakeem Mohd Ali.

Lima lelaki itu sebelum ini menghadapi pertuduhan membunuh Zulfarhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan, manakala Abdoul Hakeem didakwa bersubahat membunuh mengikut Seksyen 109 kanun sama yang membawa hukuman serupa.

Hakim Azman dalam keputusannya mendapati keenam-enam tertuduh bersalah atas pertuduhan dengan niat menyebabkan kecederaan kepada Zulfarhan tanpa niat membunuh, mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda jika perbuatan itu dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kematian.

Mahkamah juga menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun terhadap lima tertuduh kecuali Mohamad Shobirin serta 12 rakannya, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan Zulfarhan.

Mohamad Shobirin sebelum ini didakwa atas kesalahan mencederakan, tetapi telah dilepaskan daripada pertuduhan itu di akhir kes pendakwaan.

Dua belas penuntut itu ialah Mohd Hafiz Fauzan Ismail, Mohamad Lukhmanul Hakim Mohd Zain, Ahmad Shafwan Berdal, Muhammad Amirul Asraff Mala, Luqman Hakim Shamsuri Agus, Muhammad Sufi Mohd Mustapha, Noriznan Izzairi Noor Azhar, Muhamad Ashraf Abdullah, Muhammad Danial Firdaus Azmir, Muhammad Hasif Ismail, Muhammad Adib Iman Fuad Ady Sani dan Mohamad Syazwan Musa.

Mereka didapati bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Zulfarhan untuk mendapatkan pengakuan bahawa dia mencuri komputer riba, mengikut Seksyen 330 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda.

Kesemua mereka didakwa melakukan perbuatan itu di dua bilik, blok penginapan asrama Jebat, UPNM antara 21 Mei 2017 dan 22 Mei 2017.

Zulfarhan meninggal dunia di Hospital Serdang pada 1 Jun 2017. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28