KEB mesra bumiputera atau hanya wayang - Ahmad Fadhli

Iklan
Ahmad Fadhli

SHAH ALAM - Pas mempersoalkan hala tuju Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) Madani yang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan sama ada mesra bumiputera atau hanya sekadar wayang untuk meraih semula sokongan kumpulan itu.

Ketua Penerangannya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, perkara tersebut boleh dinilai melalui dasar-dasar yang dilakukan sebelum ini seperti kes bayaran royalti hasil petroleum dua negeri di Pantai Timur.

Iklan
Iklan

"Ke mana sebenarnya hala tuju KEB Madani ini? Contohnya pembayaran royalti hasil petroleum di Kelantan dan Terengganu yang jumlah penduduk bumiputera tinggi namun telah dinafikan.

"Projek mega di negeri-negeri maju yang sedikit jumlah penduduk bumiputera diluluskan," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Iklan

Pada 7 Mac lalu kerajaan mengumumkan akan melancarkan pelan jangka panjang bumiputera untuk tempoh 10 tahun akan datang yang lebih ‘segar dan inklusif’ pada Jun depan dalam usaha melonjakkan sosioekonomi bumiputera menerusi pelbagai bidang dan sektor.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, input, cadangan dan pandangan hasil KEB 2024 akan dicerakinkan dan diterjemahkan ke dalam hala tuju baharu pemerkasaan bumiputera ini.

Iklan

Ahmad Fadhli turut mendakwa peruntukan untuk ahli Parlimen pembangkang yang kesemuanya bumiputera turut disekat melainkan jika memenuhi syarat politik yang ditetapkan.

Kata beliau, cadangan kerajaan dalam hal pemansuhan pencen bagi penjawat awam baharu juga dilihat tidak mesra bumiputera kerana majoriti penjawat awam adalah orang Melayu.

"Inisiatif ini sekadar wayang untuk meraih semula sokongan bumiputera yang dilihat semakin berkurangan susulan pelancaran dasar dan polisi Madani yang banyak mengundang kritikan dan menimbulkan polemik dalam kalangan penduduk bumiputera?

"Apapun, saya nasihatkan agar pihak kerajaan berbincang dan perhalusi betul-betul setiap perkara dilakukan dengan berpijak di alam nyata.

"Mudah untuk berbicara secara ideal dan retorika bahasa, tetapi sukar untuk dilaksana dan diimplementasi apatah lagi jika ‘geng’ tidak sekepala," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28