ADUN lantik pegawai atasi isu kecurian di tiga kampung

Iklan
Muhamad Arafat (dua dari kanan) menyampaikan surat lantikan kepada Raduan (dua dari kiri) sebagai pegawai khas zon Chemor di pejabat ADUN Hulu Kinta pada Jumaat.

IPOH - Susulan kejadian kecurian melibatkan sekolah rendah agama rakyat dan beberapa kemudahan awam di Kampung Ulu Kuang, Chemor, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta melantik seorang pegawai khas zon Chemor bagi menyelaras isu kebajikan di kawasan berkenaan.

ADUN Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, pihaknya melantik Raduan Mat Taib berkuat kuasa pada Jumaat untuk membantu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) menyelesaikan isu-isu keselamatan, kebajikan serta keperluan melibatkan tiga kampung iaitu Kampung Ulu Kuang, Kampung Ulu Chemor dan Kampung Che Zainal.

Iklan
Iklan

"Pegawai ini akan menyusun beberapa program bersesuaian yang dirancang berkaitan permasalahan dihadapi lebih 10,000 penduduk di tiga kampung ini selain melihat keperluan-keperluan lain," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Muhamad Arafat berkata, dengan pelantikan ini diharap pegawai terbabit dapat memberi fokus terhadap kebajikan penduduk ketiga-tiga kampung berkenaan serta sebarang isu dibangkitkan dapat diselesaikan dan mereka tidak perlu lagi bimbang.

Iklan

Sinar Harian pada Khamis melaporkan kes kecurian kabel elektrik SRAR Muhammadiah, Kampung Ulu Kuang, Chemor yang menyebabkan tiga kelas kehilangan bekalan elektrik.

Difahamkan selain kabel elektrik sekolah, beberapa premis awam berhampiran seperti dewan serbaguna turut kehilangan kipas manakala kompresor udara pendingin hawa milik perpustakaan awam juga dicuri individu tidak bertanggungjawab dipercayai penagih dadah.

Iklan

Muhamad Arafat menjelaskan, berdasarkan maklumat diterima, kes-kes jenayah di kampung terbabit kerap berlaku sejak akhir-akhir ini namun penduduk yang terlibat enggan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, disebabkan itu juga usaha kesedaran dalam kalangan penduduk akan dilaksanakan supaya kegiatan jenayah dapat dibendung dengan segera.