Sanusi kesal Saifuddin tidak adakan mesyuarat sejak setahun lalu

Iklan
Muhammad Sanusi (kiri), Saifuddin Nasution

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melahirkan rasa kecewa dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang didakwa gagal mengadakan mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah.

Sanusi mendakwa Saifuddin yang juga Pengerusi Bersama tidak memanggil mesyuarat lebih setahun bagi membincangkan projek infrastruktur kerajaan Persekutuan di Kedah dengan kerajaan negeri sejak majlis tersebut ditubuhkan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perkara itu tidak seharusnya berlarutan kerana ia berkait dengan peruntukan di bawah Persekutuan dan sebahagiannya terletak bawah kuasa negeri seperti tanah.

"Ini tanggungjawab masing masing, kerja sedang berjalan, ada fungsi bawah negeri sebab isu tanah dan ada fungsi Persekutuan berkaitan peruntukan, jadi kena selaraskan,” katanya pada sidang akhbar selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah ditangguhkan pada Khamis.

Iklan

Sanusi berkata, beliau telah mengemukakan kebimbangannya itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pertemuan bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri baru-baru ini.

"Saya cadangkan jika Saifuddin sibuk dengan urusan kementerian, beliau sepatutnya wakilkan Menteri Kabinet lain untuk hadiri mesyuarat tersebut.

Iklan

"Kalau sibuk sangat, ganti dengan orang lain sebab kuasa panggil mesyuarat ada pada beliau, bukan dekat saya walaupun pengerusi bersama. Mereka datang Kedah pun tak bagi tahu. Saya rasa benda ini tak boleh berlarutan,” ujarnya.

Pada Rabu, kerajaan Persekutuan dilaporkan akan menjalankan analisis menyeluruh berhubung faktor yang menyebabkan kelewatan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di Kedah sebelum mempertimbangkan dana tambahan, seperti dicadangkan kerajaan negeri.

Saifuddin berkata, beliau berhasrat membincangkan perkara itu dalam pertemuan dengan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri negeri sebelum membuat sebarang keputusan.