Suasana pilu selubungi istiadat penghormatan negeri Taib Mahmud

Iklan
Suasana pilu menyelubungi DUN Sarawak hari ini sebaik jenazah Abdul Taib tiba di Kuching bagi istiadat penghormatan negeri. Foto Bernama

KUCHING - Suasana pilu menyelubungi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini sebaik jenazah bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud tiba di sini bagi istiadat penghormatan negeri.

Kenderaan membawa jenazah Abdul Taib tiba di bangunan DUN pada 7.50 pagi.

Iklan
Iklan

Turut mengiringi jenazah ialah anak Allahyarham, Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Taib, Datuk Seri Mahmud Abu Bekir Taib dan Datuk Hanifah Hajar Taib.

Lapan orang pengusung dari Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kemudiannya membawa masuk jenazah Allahyarham dan diletakkan di tempat khas di Atrium DUN Sarawak.

Iklan

Bangunan DUN Sarawak yang merupakan antara ikon utama negeri hari ini mula dibanjiri orang ramai daripada pelbagai kaum seawal 8 pagi untuk memberi penghormatan terakhir kepada bekas ketua menteri itu yang telah banyak menyumbang bakti kepada Bumi Kenyalang.

Bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh Guru Al-Quran Majlis Islam Sarawak dan Persatuan Qari Bahagian Kuching turut diperdengarkan sempena istiadat berkenaan.

Iklan

Istiadat penghormatan negeri bermula pada 8 pagi hingga 11.30 pagi bagi membolehkan orang awam memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Solat jenazah dijadual diadakan selepas itu di Masjid Demak berdekatan kediaman Allahyarham disusuli istiadat pengebumian negeri di perkuburan keluarga di Demak Jaya.

Abdul Taib yang juga digelar Bapa Pemodenan Sarawak meninggal dunia kira-kira 4.40 pagi semalam di sebuah hospital di Kuala Lumpur. - Bernama

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28