Polis tahan dua lelaki, rampas 5kg ganja di Padang Besar

Iklan
Gambar hiasan

PADANG BESAR - Polis menahan dua lelaki dan merampas lima kilogram (kg) ganja di pekarangan pintu masuk bangunan The Zone Duty Free dekat sini, Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd Shokri Abdulllah berkata, suspek pertama berusia 23 tahun ditahan dalam satu pemeriksaan pada jam 1.20 tengah hari berhampiran bangunan terbabit setelah didapati berada dalam keadaan mencurigakan.

Iklan
Iklan

"Hasil pemeriksaan di dalam beg itu telah menjumpai lima bungkusan kerajang aluminium warna merah, setiap satunya berisi ketulan tumbuhan mampat dipercayai dadah jenis ganja,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar pada Selasa.

Beliau berkata, susulan tangkapan itu, dalam tempoh kurang 24 jam, polis turut berjaya menahan seorang lagi suspek berusia 36 tahun berhampiran lokasi sama, namun tiada bahan terlarang didapati bersama lelaki terbabit.

Iklan

Menurut Mohd Shokri dadah yang dirampas bernilai RM15,500 dan boleh diguna pakai 5,000 penagih.

Tambahnya, suspek berusia 23 tahun itu dipercayai mengambil upah membawa bekalan dadah yang diambil daripada pembekal di negara jiran dan menyeludup masuk ke negara ini untuk diedarkan kepada penagih, manakala suspek kedua dipercayai sebagai dalang.

Iklan

Kedua-dua suspek didapati mempunyai rekod jenayah dan merupakan antara orang yang dikehendaki serta positif methamphetamine dalam ujian air kencing.

Beliau berkata, suspek direman tujuh hari bermula 10 Februari lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan polis masih mengesan suspek lain yang mungkin terlibat dalam kes berkenaan. - Bernama