Lagi MP Bersatu sokong PM: Itu dakwaan orang hilang akal - Hamzah

Iklan
Hamzah. Foto SINAR HARIAN/MOHD HALIM ABDUL WAHID

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) mengesahkan tidak ada Ahli Parlimen parti gabungan itu yang bakal menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim lagi selepas ini.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, dakwaan yang mengatakan bahawa akan ada 10 Ahli Parlimen PN akan menyokong Perdana Menteri itu tidak benar.

Iklan
Iklan

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai dakwaan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengesahkan 10 lagi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Syed Abu Hussin berkata, sokongan berkenaan akan diumumkan oleh Ahli Parlimen terlibat pada 28 Februari ini ketika sidang Dewan Rakyat.

Iklan

Beliau mendakwa, mereka yang terlibat ialah lima ahli Parlimen dari Utara (Kedah, Perak dan Pulau Pinang), tiga dari negeri Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) serta dua dari Selangor dan Melaka.

Sementara itu Hamzah menegaskan tindakan perundangan melibatkan enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Perdana Menteri sebelum ini akan diteruskan.

Iklan

"Tindakan akan tetap diambil terhadap mereka dan perkara itu dalam proses oleh pihak peguam kami,” ujarnya.

Sebelum ini, Ahli Parlimen PN yang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri adalah Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal; Ahli Parlimen Jeli, Zahari Kechik; Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim.

Selain itu, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid dan Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman, manakala terbaharu, Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi yang turut mengambil langkah sama pada 24 Januari lalu.