Dua individu maut dirempuh lori

Iklan
Lori terlibat dipercayai mengalami masalah brek sebelum merempuh empat kenderaan berdekatan persimpangan lampu isyarat Medan Masria di susur keluar Lebuhraya Grand Saga pada Rabu.

KAJANG - Dua individu maut setelah kereta dinaiki dirempuh sebuah lori dipercayai mengalami masalah brek berdekatan persimpangan lampu isyarat Medan Masria di susur keluar Lebuhraya Grand Saga pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 4.45 petang melibatkan kereta dinaiki kedua-dua mangsa serta tiga kenderaan lain di lokasi kejadian.

Iklan
Iklan

"Ketika kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Lebuhraya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) menghala ke Plaza Tol Batu 9, Kajang.

"Lori yang dipandu seorang lelaki tempatan itu kemudiannya dipercayai mengalami masalah brek dan melanggar empat buah kenderaan sebelum terbabas ke lereng bukit berdekatan," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Katanya, mangsa yang maut melibatkan penumpang dan pemandu salah sebuah kenderaan yang dirempuh lori terbabit.

"Mangsa lelaki disahkan maut di tempat kejadian manakala mangsa wanita meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital," katanya.

Iklan

Menurutnya, tiga lagi pemandu kenderaan lain yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bagaimanapun pemandu lori berkenaan disahkan mengalami cedera ringan.

"Pemandu lori berumur 40 tahun itu kemudiannya ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Mohd Zaid berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil bagi membantu siasatan.

"Info berkaitan kejadian boleh disalurkan dengan menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115 bagi membantu siasatan," katanya.