Mufti nasihat imam berhenti merokok

Iklan
Individu yang berperanan sebagai imam dinasihatkan berhenti merokok. Gambar kecil: Wan Salim

GEORGE TOWN - [DIKEMAS KINI] Individu yang berperanan sebagai imam dinasihatkan berhenti merokok kerana ia merupakan tabiat tidak baik, apatah lagi perokok turut digolongkan dalam kalangan orang fasik.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, walaupun terdapat pandangan ulama yang mengatakan sah solat di belakang seorang imam yang fasik atau merokok, ia tetap menonjolkan imej negatif terhadap seorang imam terlibat.

Iklan
Iklan

"Menurut pandangan mantan Mufti Arab Saudi, Almarhum Sheikh Abd Al Aziz Abdullah Baz adalah sah solat di belakang seorang imam yang fasik atau imam yang merokok.

"Bagaimanapun, adalah wajib ke atas kerajaan melantik imam daripada kalangan orang baik-baik dan istiqamah (baik ibadah dan akhlak)," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Wan Salim berkata demikian bagi mengulas mengenai sebuah klip video di aplikasi TikTok oleh seorang ustaz yang menjawab pertanyaan pengikutnya mengenai 'tidak solat dengan imam yang merokok'.

Ustaz tersebut berpandangan bahawa perokok tidak boleh menjadi imam dan jemaah tidak boleh mengikut orang yang merokok selain solat mereka dianggap tidak sah.

Iklan

Kata ustaz itu lagi, perokok adalah orang fasik dan golongan tersebut tidak boleh menjadi imam.

Dalam pada itu, Wan Salim turut meminta ustaz tersebut mendedahkan bukti berhubung kenyataannya bahawa rokok mengandungi arak dan unsur khinzir.

"Dakwaan ustaz itu bahawa rokok mengandungi arak dan unsur khinzir itu perlu disokong dengan bukti berdasarkan kajian," katanya.