Polis tahan pemuda tular pukul warga emas

Iklan
Rakaman video tular memaparkan suspek memukul warga emas terbabit.

MELAKA - Polis menahan seorang pemuda yang didakwa memukul warga emas wanita hingga terjatuh di sebuah tapak glamping di Tanjung Kling dekat sini Ahad lalu.

Video berdurasi 29 saat membabitkan pergaduhan jiran bersebelahan rumah yang berlaku lebih kurang jam 1.20 petang itu tular di apalikasi X selepas kejadian terbabit.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 26 tahun telah ditahan pada jam12.10 tengah hari pada Isnin oleh sepasukan pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian tular itu dipercayai berlaku apabila mangsa berusia 76 tahun telah ke tapak glamping terbabit untuk menegur tindakan pemilik yang didakwa membakar sampah secara terbuka di kawasan rumahnya sehingga mengakibatkan mangsa mengalami sesak nafas.

Iklan

Bagaimanapun, katanya, berlaku pertengkaran mulut antara mangsa dengan suspek iaitu cucu kepada pemilik tapak 'glamping' berkenaan.

"Mangsa cuba melarikan diri tetapi pemuda berkenaan terus memukul bahagian belakang kepalanya sehingga menyebabkannya jatuh tersembam," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Tambahnya, selepas kejadian itu suspek juga mengugut mahu memukul mangsa menggunakan kayu sebelum warga emas itu bangun dan berlari menyelamatkan diri ke dalam rumah.

"Akibat dipukul, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut dan sakit pada bahagian belakang kepala, muka, leher serta belakang badan.

"Kes akan disiasat mengikut Seksyen 506 dan 323 Kanun Keseksaan," ujarnya.

Jelasnya, orang ramai juga dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan berita tidak benar kerana dikhuatiri akan menimbulkan kegusaran kepada masyarakat.