Denggi: Amaran tindakan tegas halang petugas kesihatan

Iklan
Sivanesan (kanan) bersama Dr Feisul Idzwan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Membanteras Denggi peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

IPOH - Amaran dan tindakan perundangan akan dikenakan kepada pemilik premis di negeri ini yang didapati menghalang tugas anggota kesihatan membuat pemeriksaan kawalan denggi.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Perak, A Sivanesan berkata, pihaknya menerima aduan terdapat segelintir pemilik kediaman dan perindustrian tidak membenarkan anggota memasuki kawasan mereka.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tindakan itu menyukarkan tugasan pemantauan dan kawalan dilakukan Jabatan Kesihatan terutama apabila melibatkan kawasan tumpuan wabak dan pembiakan Aedes.

"Perkara perlu diketahui bahawa pegawai kesihatan mempunyai lesen untuk masuk mana-mana premis yang disyaki ada pembiakan.

Iklan

"Maka keengganan untuk membenarkan pegawai kita adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Membanteras Denggi peringkat negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Feisul Idzwan Mustapha.

Sivanesan berkata, berdasarkan statistik terkini, kes denggi di negeri ini menunjukkan peningkatan 175.9 peratus kepada 309 kes dalam tempoh dua minggu pertama tahun ini.

Katanya, 10 daerah turut menunjukkan peningkatan kes paling ketara dengan kes tertinggi dilaporkan di Kinta iaitu 222 kes.

"Setakat ini, terdapat 49 lokaliti wabak aktif dikesan membabitkan 15 lokaliti wabak baru, wabak terkawal (16 lokaliti), wabak tak terkawal (1 lokaliti), hotspot (6 lokaliti) dan wabak tamat (11 lokaliti)," katanya.

Sementara itu, Dr Feisul Idzwan berkata, berdasarkan pemeriksaan dilakukan didapati, kebun haram dan lot tanah terbiar juga antara penyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes kerana tidak diselenggara dengan baik.

"Semasa pemeriksaan dilakukan, mereka tidak letak perkakas ini di tempat yang terlindung daripada hujan dan akibatnya ia menakung air. Keadaan itu memudahkan nyamuk untuk membiak.

"Saya harap perkara ini diberikan penekanan dan minta semua pihak beri kerjasama untuk pastikan wabak denggi ini dapat dibendung," katanya.