Kerani wanita rugi RM60,000 akibat penipuan tawaran kerja

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

KUCHING - Seorang kerani wanita rakyat tempatan di Miri, bahagian utara Sarawak mengalami kerugian berjumlah RM60,000 akibat kes penipuan tawaran kerja sambilan dari aplikasi ‘Asia Shopping’.

Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Alexson Naga Chabu berkata, berdasarkan laporan yang dibuat mangsa yang berusia 40-an pada Jumaat lepas, beliau telah diarahkan untuk membuat urusan jual beli barangan yang tidak wujud melalui aplikasi tersebut selain dijanjikan komisen yang lumayan.

Iklan
Iklan

Katanya, setelah selesai melakukan semua urusan jual beli dalam talian itu, mangsa yang bekerja di sebuah syarikat swasta cuba untuk membuat pengeluaran komisen yang diperolehnya sebanyak RM5,000, namun gagal berbuat demikian.

"Usaha untuk mengeluarkan hasil komisen tersebut gagal, kononnya mangsa tidak mengikuti arahan ‘Customer Service’.

Iklan

"Setelah itu, mangsa telah diarahkan oleh suspek untuk membuat transaksi ke akaun pihak ketiga bagi membolehkan komisen itu dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Alexson berkata, setelah membuat 11 transaksi ke akaun pihak ketiga, mangsa menyedari dirinya telah ditipu kerana komisen yang dijanjikan masih gagal untuk diperoleh dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Iklan

Katanya, Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran kerja dalam talian dan segera menghubungi National Scam Response Center di talian 997 sekiranya telah menjadi mangsa penipuan siber. - Bernama