Maritim Malaysia tahan kapal pengangkut bersauh tanpa kebenaran

Iklan
Kapal yang disyaki bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 15 batu nautika barat Kuala Muda, Kedah pada Selasa. Foto Maritim Malaysia

ALOR SETAR - Satu vesel jenis kapal pengangkut telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah kerana disyaki bersauh tanpa kebenaran di kedudukan 15 batu nautika barat Kuala Muda, Kedah pada jam 5.45 petang Selasa.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, kapal yang dipercayai dari Liberia itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia hasil pengesanan melalui Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Langkawi, Kedah.

Iklan
Iklan
Keadaan kapal yang disyaki bersauh tanpa kebenaran disiasat pihak berkuasa. Foto Maritim Malaysia

Menurutnya, pemeriksaan lanjut mendapati nakhoda gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh dan disyaki telah melakukan kesalahan bawah Seksyen 491 B (1) (I) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana berlabuh tunggu tanpa kebenaran dari Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

"Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Iklan

Noor Azreyanti berkata, Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang Zon Maritim Malaysia bagi mengekang aktiviti haram di perairan negara.

Kapal pengangkut yang disyaki bersauh tanpa kebenaran telah ditahan bagi siasatan lanjut. Foto Maritim Malaysia

Dalam masa sama, beliau mengalu-alukan orang ramai melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999.

Iklan

"Panggilan juga boleh dibuat kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579," katanya.