Terdapat suatu fenomena dalam kalangan umat Islam yang mengambil ringan terhadap rukun Islam yang lima. Mereka menumpukan suatu rukun Islam tetapi pada masa yang sama meninggalkan rukun yang lain. Sedangkan kerukunan ibadah dalam Islam itu haruslah bersifat konsisten, ikhlas dan perlu mempunyai elemen dan nilai penyerahan kepada ALLAH SWT, barulah rukun itu boleh dikatakan sempurna bagi seseorang Muslim.
Ada sesetengah Muslim, hanya mementingkan solatnya tetapi mereka ini enggan mengeluarkan zakat. Sedangkan seruan terhadap berzakat itu boleh dikatakan bernilai setara dengan solat. Hampir setiap kali apabila al-Quran menyebutkan tentang solat, maka akan digandingkan dengannya perintah berzakat.