Jabatan Peguam Negara rangka draf pindaan perlembagaan isu kewarganegaraan

Iklan
Saifuddin Nasution ketika persidangan Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Jabatan Peguam Negara sedang merangka draf cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan anak yang dilahirkan di luar negara hasil perkahwinan wanita rakyat tempatan dengan lelaki warga asing.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, draf itu dibuat bagi meminda Perkara 14(1)(b) untuk memasukkan perkataan ibu dengan tujuan membolehkan kewarganegaraan anak diperoleh secara kuat kuasa undang-undang.

Iklan
Iklan

"Pada asalnya (pindaan) adalah untuk memasukkan satu perkataan iaitu ibu, namun atas nasihat Majlis Raja-Raja bahawa harus ada elemen kawalan kerana apabila kita menerima seseorang anak itu menjadi warganegara melalui pindaan ini, anak itu juga ialah warganegara mengikut kewarganegaraan bapa dan ibunya, bagaimanapun Perlembagaan tidak mengiktiraf dua kewarganegaraan.

Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Seri Zurainah Musa yang ingin tahu butiran kesemua cadangan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan hak kewarganegaraan yang telah dibentangkan kepada Majlis Raja-Raja.

Iklan

Mengulas lanjut, Saifuddin Nasution berkata, bersesuaian dengan nasihat Majlis Raja-Raja juga, pemakaian undang-undang itu bersifat ke hadapan dan bukan retrospektif.

"Pindaan ini juga terdapat cadangan supaya pemakaiannya adalah bagi satu generasi ertinya mengambil contoh kes Suriani Kempe, anaknya mengikut kuat kuasa undang-undang ialah warganegara secara automatik tetapi cucunya kelak perlu membuat permohonan kewarganegaraan,” katanya.

Iklan

Pada 14 Disember 2022, Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor & Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam wanita memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan kanak-kanak dilahirkan di luar negara oleh warganegara Malaysia yang berkahwin dengan lelaki warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan.

Pada 5 Ogos tahun sama, Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing tidak berhak mendapat kerakyatan Malaysia dari segi undang-undang.

Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi mengisytiharkan bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu dan bapa warganegara Malaysia secara automatik berhak mendapat kerakyatan Malaysia. - Bernama