Penduduk ambil inisiatif bina jambatan sementara
Iklan
Azmi melihat runtuhan tebing jambatan di Kampung Pasir Jelatang.
KOTA BHARU - Inisiatif penduduk membina jambatan sementara bagi menggantikan Jambatan Sungai Lubok Mulong yang tidak dapat berfungsi akibat berlaku runtuhan dapat membantu penduduk menggunakan laluan itu seperti biasa.
Penghulu Mukim Pasir Jelatang, Mohd Nafi Said ketika dihubungi bagaimanapun memaklumkan jambatan itu hanya boleh digunakan penunggang motosikal sahaja.
Iklan
Iklan
Beliau memberitahu, tindakan segera itu bagi mengelakkan kegusaran penduduk untuk menghantar anak mereka yang kebanyakannya bersekolah di daerah Kubang Kerian.
Mohd Nafi berkata, seramai sepuluh penduduk kampung itu termasuk beliau bergotong-royong membina jambatan sementara berkenaan.
Iklan
Sinar Harian pada Jumaat melaporkan tebing sebuah jambatan di Kampung Jelatang di sini runtuh menyebabkan penduduk di beberapa kampung di Kota Bharu dan Kubang Kerian terpaksa mengambil masa agak lama untuk keluar ke bandar utama di dua daerah itu.
Wan Mohd Zulfahmi melalui jambatan sementara yang dibina sekumpulan penduduk.
Jambatan Sungai Lubok Mulong menjadi tumpuan penduduk di dua daerah itu walaupun ada jalan utama berikutan mahu mengelakkan kesesakan terutama pada hari bekerja.
Iklan
Tebing itu dilihat merekah kira-kira jam 7 pagi Jumaat dan rekahan semakin lebar sehingga berlaku runtuhan lebih dua meter kira-kira jam 2 petang hari yang sama.
Mohd Nafi juga sudah memaklumkan perkara itu kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada hari sama dan tinjauan daripada agensi itu juga dilakukan serta-merta.
"Saya turut dimaklumkan pembaikan akan dilakukan dalam tempoh terdekat dan tidak mengambil masa lama kerana jambatan ini menjadi 'nadi' dua daerah sebagai jalan pintas," katanya.
Sementara itu, penduduk kampung Pasir Jelatang, Wan Mohd Zulfahmi Wan Mustafa, 45, memberitahu, inisiatif penduduk itu membolehkan dia mengambil anak di sebuah sekolah tadika di Kampung Pulung, Kubang Kerian tanpa perlu melalui jalan utama.
"Jambatan sementara ini membolehkan saya terus ke kampung sebelah tanpa perlu memikirkan kesesakan lalu lintas di jalan utama yang lebih jauh dan sibuk," katanya.
Penduduk Kampung Rupik, Azmi Abdul Aziz, 46, pula memberitahu, pembinaan jambatan sementara itu memudahkan penduduk melalui jalan pintas berkenaan.
Bagaimanapun, keadaan kayu yang tidak kukuh mungkin membahayakan keselamatan pengguna terutama penunggang motosikal.
"Kita berharap pihak berkaitan dapat membaiki tebing jambatan dengan segera," katanya.
Riuh suara nelayan Pantai Sabak yang bergotong-royong menarik perahu kolek ke darat menjadi petanda musim tengkujuh telah tiba, sekali gus menandakan bermulanya tempoh ‘rehat’ mereka daripada mencari rezeki di laut.
Tradisi yang dilakukan setiap tahun itu bertujuan membolehkan kerja membaiki kerosakan, mengecat dan menyelenggara perahu dilaksanakan sebelum mereka kembali turun ke laut.
Artikel:https://www.sinarharian.com.my/article/803598/edisi/kelantan/nelayan-pantai-sabak-tarik-perahu-kolek-ke-darat-tanda-musim-tengkujuh-bermula
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.