Jangan beri makan kera, lotong di Bukit Melawati

Iklan
Penduduk diingatkan agar tidak memberi makanan kepada kera dan lotong di Bukit Melawati. Gambar kecil: Mohamad Hanafe

KUALA SELANGOR - Sikap pengunjung memberi makan kepada kera dan lotong di pusat pelancongan bersejarah, Bukit Melawati menjadi punca haiwan itu kerap berkeliaran di kawasan penempatan penduduk berhampiran.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), Mohamad Hanafe Basri berkata, haiwan liar itu sudah terbiasa diberi makanan hingga dikesan merayau dan bertindak agresif hingga membuat kacau ganggu.

Iklan
Iklan

"Saya berharap pengunjung tidak memberi makan kerana lebih banyak kesan buruk seperti pertambahan populasi haiwan ini dengan cepat sehingga melampaui jumlah makanan di kawasan habitat semula jadi," katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Menurut beliau, kacau ganggu kera dan lotong di kawasan perumahan berdekatan mula memuncak sejak pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) semasa pandemik Covid-19 dua tahun lalu.

Iklan

Tambah beliau lagi, MPKS tidak mengeluarkan sebarang permit kepada mana-mana peniaga untuk menjual makanan monyet di Bukit Melawati.

Beliau memberitahu, tindakan tegas akan diambil kepada penjual terbabit sekiranya ada aduan daripada pengunjung.

Iklan

"Kita akan menjalankan tindakan penguatkuasaan kepada penjual makanan monyet dan kita dapati mereka ini curi-curi menjual kepada pengunjung," jelasnya.