LEBIH 400 pemain berusia bawah 20 tahun bakal menunjukkan bakat masing-masing di dalam kejohanan Piala Cheetah yang dijadualkan berlangsung bermula 9 Disember ini.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, kejohanan tersebut dianjurkan bagi mencari bakat baharu menyertai pasukan Perak FC III bagi Piala Presiden dan Perak FC IV untuk Piala Belia.
Katanya, sebanyak 24 pasukan akan berentap membabitkan tiga zon iaitu utara, tengah dan selatan sebelum memasuki peringkat Liga Juara-Juara seterusnya dinobatkan sebagai juara.
"Perak mempunyai ramai bakat terpendam dan kejohanan ini diteruskan susulan kejayaan kita mencungkil bakat-bakat muda menerusi kejohanan Piala Dato' Seri Azim pada tahun 2022.
"Program pembangunan seperti ini mampu mencungkil lebih banyak bakat muda Perak untuk membarisi pasukan Perak FC musim hadapan dan pada masa akan datang," katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di Bilik Sidang Media Stadium Perak di sini pada Ahad.
Hadir sama pada sidang akhbar tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Bobie Farid Shamsuddin; Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong dan Ketua Jurulatih Perak FC III, Mohd Shahril Nizam Khalil.
Abdul Azim berkata, sepanjang kejohanan berkenaan kesemua bakat-bakat muda tersebut akan dinilai sendiri oleh Ketua Pembangunan dan Pencarian Bakat Perak FC, Raja Azlan Shah Raja So'ib dan Mohd Shahril.
Menurutnya, kejohanan kali ini menampilkan jumlah hadiah yang lebih besar dengan juara bakal menerima wang tunai RM10,000 diikuti naib juara sebanyak RM6,000, tempat ketiga (RM4,000) dan tempat keempat (RM2,000).
Dalam pada itu, Abdul Azim turut mengharapkan lebih banyak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pihak swasta untuk tampil memberikan sokongan kepada pembangunan bola sepak di Perak.