MARDI hasilkan tiga varieti bawang merah

Iklan
MARDI telah menghasilkan tiga varieti bawang merah melalui usaha inovasi serta R&D yang dijalankan sejak 2020. - Foto hiasan.

PUTRAJAYA - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) telah menghasilkan tiga varieti bawang merah melalui usaha inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan sejak 2020.

Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata, tiga varieti bawang merah itu ialah BAW-1, BAW-2 dan BAW-3 telah dilancarkan bersempena Show Tech MARDI 2023 pada Ogos lepas, yang sesuai ditanam di tanah rendah dengan tanah yang berbeza iaitu mineral, BRIS dan gambut.

Iklan
Iklan

"Kualiti bawang merah yang diperoleh adalah sama seperti bawang import di pasaran iaitu bersaiz 25 hingga 35cm, berwarna merah terang dan menarik, segar dan tahan kepada serangan serangga dan penyakit, serta mampu mengeluarkan hasil sekitar empat hingga enam tan/hektar,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, MARDI mengambil keputusan menggiatkan aktiviti penyelidikan bagi membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada import bawang ekoran krisis bekalan bawang import akibat bencana banjir di India pada 2020 yang mengakibatkan harga jualan bawang meningkat sehingga tiga kali ganda dari RM3/kg kepada RM16/kg.

Iklan

Beliau berkata, pengkomersialan pengeluaran bawang merah MARDI akan bermula awal tahun hadapan dengan tumpuan kepada pengeluaran benih dan peluasan kawasan di plot-plot usahawan tani.

"MARDI kini dalam fasa permulaan dengan menghasilkan benih-benih bawang dari bebawang yang ditanam di sebidang tanah berkeluasan satu hektar di Ibu pejabat MARDI untuk kami edarkan kepada petani-petani yang kami telah kenal pasti untuk mereka mulakan penanaman bawang,” katanya.

Iklan

Mohamad Zabawi berkata pada tahun depan, MARDI dengan bantuan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan juga bercadang untuk mengembangkan plot-plot tanaman bawang sehingga 20 hektar kepada usahawan tani yang berminat di seluruh Malaysia.

"MARDI berhasrat untuk tingkatkan kepada 40 hektar pada 2025 dan seterusnya meningkat kepada 100 hektar menjelang 2030.

"Mengikut perkiraan kami, sekiranya setiap hektar tanah dapat menghasilkan bebawang kering sebanyak lapan tan, 40 hektar boleh dapatkan 320 tan bawang, kami jangka negara mampu mengurangkan kebergantungan import dari negara luar dalam masa lima tahun,” katanya.

Mohamad Zabawi berkata, MARDI juga bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) untuk mewujudkan pusat pengeluaran benih bawang di Perak.

"Hab bawang yang akan diwujudkan tersebut akan dikendalikan oleh usahawan tani di bawah PPPNP dan akan membekalkan benih kepada pengeluar bawang merah di negeri Perak yang berminat.

"Untuk permulaan, seramai 17 usahawan telah menjalani kursus pengeluaran bawang di MARDI sebagai langkah awal pemindahan teknologi kepada golongan sasar,” katanya. - Bernama