Dua lelaki tak mengaku curi cip kasino Genting Highlands

Iklan
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah selepas dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong pada Rabu.

BENTONG - Seorang pekerja kontrak dan penjaga kebun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bentong di sini pada Rabu atas pertuduhan mencuri cip kasino di Genting Highlands pada 28 Oktober lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh, Koay Boon Seng, 32, dan Hoo Chee Chuan, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nadhratun Naiem Zainan.

Iklan
Iklan

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Zamharir Muhammad Zuhid manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Kenny Tan.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas telah melakukan pecah rumah ke atas bangunan yang digunakan sebagai tempat untuk simpanan harta benda dengan mencuri 1,160 cip bernilai RM4,607,800 milik Genting Highlands Berhad di dalam bilik Twlight 3, Sky Kasino Genting Highlands, pada 7.12 pagi, 28 Oktober lepas.

Iklan

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan jika kesalahan kali kedua atau seterusnya, boleh dikenakan denda atau sebat.

Iklan

Nadhratun kemudiannya menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin untuk setiap tertuduh dan 10 Januari 2024 sebagai tarikh sebutan semula.

Semalam, Sinar Harian melaporkan polis giat mengesan lima lelaki warga tempatan termasuk seorang yang dipercayai dalang utama dalam kes kecurian cip kasino itu.