KTMB tawar 295,608 tiket sempena Hari Raya Aidilfitri 2024

Iklan

SHAH ALAM - Sebanyak 295,608 tiket ditawarkan untuk perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Intercity bagi perjalanan dari 5 April hingga 16 April 2024 sempena musim perayaan Hari Raya Aidilfitri.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan, jualan tiket akan dibuka bermula Isnin ini bagi tempoh perjalanan sehingga 30 April 2024.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiket akan dijual bermula jam 12 tengah hari manakala bagi perkhidmatan KTM Intercity (Tebrau) pula akan dibuka pada jam 10 pagi.

"Seperti tahun-tahun sebelum ini, tiket pada tarikh-tarikh sebelum dan selepas sambutan perayaan sangat laris dijual,” katanya pada Sabtu.

Tangkap layar kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada Sabtu.

Iklan

Tambahnya, KTMB turut menawarkan tren ETS tambahan sempena cuti persekolahan penggal ketiga bermula 15 Disember sehingga 1 Januari 2024 bagi laluan Padang Besar-KL Sentral-Padang Besar.

"Ia akan mula dijual bermula 1 November pada jam 10 pagi iaitu tawaran sebanyak 630 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhannya 11,340 termasuk koc kelas perniagaan.

Iklan

"Masa berlepas tren dari Padang Besar ialah jam 11 pagi dan tiba di KL Sentral pada 4.36 petang manakala KL Sentral ke Padang Besar pula akan berlepas jam 5.05 petang dan tiba pada jam 10.34 malam,” ujarnya.

Penambahan tersebut untuk menampung permintaan tiket kereta api yang tinggi semasa musim cuti sekolah dan juga sambutan Hari Natal.