Ipoh bandar raya pertama di Asia guna sistem Thermowaste

Iklan
Ipoh akan menjadi bandar raya pertama di Asia mengitar semula 100 peratus sisa menggunakan teknologi mesra alam menerusi sistem Thermowaste. - Foto: Ihsan MBI

IPOH - Ipoh akan menjadi bandar raya pertama di Asia mengitar semula 100 peratus sisa menggunakan teknologi mesra alam menerusi sistem Thermowaste apabila pembinaan loji siap sepenuhnya kelak.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, teknologi itu merupakan konsep baharu bermatlamat memberi kegunaan tambahan kepada semua sisa bagi mengitar semula dan mengasingkan sisa pepejal isi rumah dengan lebih cekap, cepat serta mudah, selari konsep ekonomi donut yang menekankan konsep ekonomi kitaran.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, asas cara teknologi itu berfungsi adalah melalui proses pensterilan dan pembersihan dengan haba, wap dan tekanan dikenakan terhadap sisa pepejal tanpa perlu melakukan pengasingan sebelumnya.

"Semua komoditi asas ini kemudiannya akan dijual di pasaran sekali gus menjadikan bahan buangan tadi dapat digunakan semula dalam bentuk berbeza, contohnya sisa pepejal yang ditukar bentuk kepada biomass akan dijual sebagai bahan bakar menggantikan arang batu untuk kegunaan industri," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Iklan

Rumaizi berkata, untuk makluman, tapak pelupusan sanitari sisa pepejal bukanlah suatu konsep ideal kerana ia memerlukan kawasan tanah yang luas bagi tujuan pelupusan sisa pepejal di dalam tanah tersebut dan menjadikan penggunaan tanah tidak produktif.

Justeru, beliau berkata, Thermowaste Mancuso Energy Sdn Bhd, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan Selekta Spektra telah berganding bahu melalui memorandum persefahaman (MoU) yang telah ditandatangani pada 17 Oktober bagi menjayakan projek itu.

Iklan

Menurutnya, ia bagi memastikan alam sekitar menjadi lebih bersih dan masa depan lebih baik sejajar dengan satu daripada teras Strategik dalam Pelan Strategik MBI untuk kelestarian alam sekitar.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, MBI memaklumkan mereka dinobatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) Cemerlang dalam Kempen Kesihatan Persekitaran Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) 2022 bersempena kempen basmi hotspot denggi di kawasan PBT.

Anugerah berkenaan disampaikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dalam satu Majlis Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat KPKT 2023 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), semalam.

Setiausaha Bandaraya MBI Ahmad Munir Ishak menerima anugerah berkenaan mewakili Datuk Bandar Ipoh. - Bernama