JOHOR BAHRU - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah mengingatkan penjawat awam di negeri ini dari peringkat bawahan hingga ke atasan supaya tidak terbabit dengan rasuah. Baginda bertitah, penjawat awam perlu hidup dalam kadar kemampuan sendiri dan peringatan itu bagi mengelakkan mereka terjerumus dalam gejala rasuah.
"Semua penjawat awam hendaklah mengisytiharkan harta setiap tahun kerana ini adalah salah satu cara untuk mencegah pemilikan harta luar biasa."Pada masa sama, kerajaan boleh mengkaji gaji segelintir kakitangan awam yang terlalu rendah kerana ini juga boleh menjadi faktor tekanan hidup, terutama di bandar-bandar besar,” titah Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO) pada Ahad.