Johor belum buat ketetapan had umur minimum perkahwinan

Iklan
Tosrin Jarvanthi -Foto fail

ISKANDAR PUTERI – Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) masih dalam perbincangan dan belum menetapkan sebarang ketetapan berkaitan had umur minimum perkahwinan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar Tosrin Jarvanthi berkata, hasil mesyuarat tersebut akan dipersembahkan kepada Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bagi mendapatkan pandangan serta nasihat baginda.

Iklan
Iklan

"Kita akan persembahkan dahulu kepada Tuanku untuk mendapatkan nasihat,” katanya ketika ditemui pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof bahawa kerajaan akan memperkenalkan satu modul yang menetapkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat untuk mengehadkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Iklan

Menurut Tosrin, penerimaan atau pelaksanaan sebarang modul baharu diperkenalkan Kerajaan Persekutuan akan diputuskan selepas ketetapan dibuat pada peringkat Kerajaan Negeri.

Terdahulu pada Selasa di Dewan Rakyat Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, memberitahu, kerajaan sedang menyiapkan Draf Pelan Strategik Kebangsaan bagi menangani isu perkahwinan bawah umur.

Iklan

Draf itu akan membabitkan pindaan kepada Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 (Akta 303)dengan menetapkan umur minimum perkahwinan bagi wanita kepada 18 tahun.