Status Lembaga Tanah Pertanian Melayu akan dibincang: Khalid

Iklan
Khalid bergambar bersama penduduk Sri Sarawak pada program Inisiatif Wilayah Peduli di sini hari ini.

KUALA LUMPUR - Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan mengadakan pertemuan dengan Lembaga Tanah Pertanian Melayu (MAS) bagi perbincangan status perundangan dan pengurusan persempadanan Kampung Baru minggu depan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, isu tersebut sebelum ini pernah dirujuk kepada Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari dan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebelum pertemuan ketiga dibuat bersama MAS.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tiada sebarang lantikan jawatankuasa dibuat dari pentadbiran Selangor selepas persempadanan semula kawasan itu diserahkan kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

"MAS diwujudkan tahun 1900 yang ketika itu di bawah Selangor tapi selepas diambil alih Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur maka kedudukannya telah berubah dan statusnya perlu dibincangkan.

Iklan

"Kedudukannya menjadi tanda tanya dan perlu disiasat bagi mengetahui punca kuasanya yang datang dari mana dan akta yang digunakan masih relevan atau sebaliknya. Ia perlu mengikut saluran undang-undang yang betul," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Inisiatif Wilayah Peduli bersama Perumahan Awam di Perumahan Awam Sri Sarawak Off Jalan Kenanga di sini hari ini.

Iklan

Turut hadir Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosida Jaafar.

Khalid yang juga Ahli Parlimen Shah Alam itu menjelaskan, kedudukan MAS yang meragukan itu juga antara faktor Nor Hisham menolak lantikan sebagai Yang Dipertua MAS.

"Sepatutnya isu ini dah diselesaikan lama tapi sebelum ini tidak diberikan perhatian. Kita (KWP) nak buat cara yang betul melalui pertemuan minggu depan dengan menjemput jawatankuasa MAS bagi bincangkan keadaan ini.

"Saya difahamkan sekarang ini MAS mengenakan caj untuk pihak yang ingin melakukan pembangunan dan perniagaan sedangkan mengikut pemahaman saya MAS sudah tiada kuasa selepas pentadbiran diambil alih Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

Khalid bergambar bersama penduduk Sri Sarawak pada program Inisiatif Wilayah Peduli di sini hari ini.