SHAH ALAM - Pasukan siasatan khas kematian Teoh Beng Hock telah merakam lima percakapan saksi antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah dan bekas ADUN Kota Alam Shah, M Manoharan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, pihaknya juga akan memanggil Tracia Yeoh yang sebelum ini pernah membangkitkan isu-isu berkaitan kematian mendiang Beng Hock menerusi artikel yang diterbitkan di sebuah akhbar berbahasa Inggeris pada 17 Julai lalu bagi membantu siasatan.
Iklan
Iklan
"Pihak kami juga akan memanggil beberapa saksi awam termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan lanjut untuk rakaman percakapan dalam masa terdekat.
"Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara bagi sebarang arahan lanjut dari masa ke semasa," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Pada 16 Julai lalu, Peguam Negara, Tommy Thomas mengarahkan kes kematian mengejut Beng Hock disiasat semula di bawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan iaitu penahanan secara salah.
Sehubungan dengan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan menubuhkan pasukan siasatan khas Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Kontinjen Selangor dan Bukit Aman.
Ia berikutan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa kematian mendiang sebagai satu kesalahan jenayah, punca mendiang jatuh daripada bangunan disebabkan tindakan menyalahi undang-undang, punca kejadian didorong oleh seseorang atau beberapa orang yang tidak dikenali termasuk pegawai SPRM dan mendiang juga ditahan secara konstruktif.