KKM perluas khidmat penjagaan paliatif di empat negeri

Iklan
Buku Polisi Kebangsaan Penjagaan Paliatif disampaikan Dr Dzulkefly turut disampaikan kepada pengarah - pengarah kesihatan negeri sewaktu Simposium Penjagaan Paliatif Kebangsaan dan Pelancaran Polisi dan Pelan Strategik Penjagaan Paliatif Kebangsaan di Auditorium Utama Hospital Selayang, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) berhasrat menyediakan kemudahan program penempatan khidmat penjagaan paliatif di empat buah negeri lagi dalam tempoh setahun setengah iaitu di Melaka, Negeri Sembilan, Sabah dan Sarawak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, buat masa ini kemudahan itu telah berjaya diwujudkan di hospital di Selangor, Perak, Kedah dan Pulau Pinang sejak KKM memulakan inisiatif program tersebut pada tahun 2016.

Iklan
Iklan

"Sebahagian daripada Polisi dan Pelan Strategik Penjagaan Paliatif Kebangsaan 2019-2030 adalah untuk membangunkan lebih banyak lagi kemudahan penempatan penjagaan paliatif di seluruh negara.

"Kementerian akan sediakannya di empat negeri lagi dalam tempoh masa setahun setengah dalam usaha kerajaan meningkatkan kualiti kehidupan individu. Ketika ini hanya terdapat 21 pakar perubatan penjagaan paliatif di Malaysia dan lima unit pakar penjagaan paliatif di KKM.

Iklan

"Kita masih memerlukan 218 orang pakar lagi dan bagi meningkatkan jumlah ini program latihan untuk doktor, jururawat dan rakan strategik yang lain telah dijalankan agar dapat menjana pertambahan lebih ramai pakar di dalam bidang ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Simposium Penjagaan Paliatif Kebangsaan dan Pelancaran Polisi dan Pelan Strategik Penjagaan Paliatif Kebangsaan di Auditorium Utama Hospital Selayang, di sini hari ini.

Dr Dzulkefly memalu gong sebagai gimik perasmian Simposium Penjagaan Paliatif Kebangsaan dan Pelancaran Polisi dan Pelan Strategik Penjagaan Paliatif Kebangsaan di Auditorium Utama Hospital Selayang, di Kuala Lumpur, hari ini.

Iklan

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan(Perubatan), Datuk Dr Rohaizat Yon dan pada program itu juga turut diadakan penyampaian Buku Polisi Kebangsaan Penjagaan Paliatif kepada kesemua pengarah kesihatan negeri.

Tambah beliau, penjagaan paliatif melalui khidmat komuniti adalah komponen utama bagi perkhidmatan penjagaan paliatif di dalam negara dan ketika ini terdapat 30 badan bukan kerajaan (NGO) termasuk Hospice Malaysia yang menyediakan perkhidmatan penjagaan dari rumah secara percuma sepenuhnya.

Menyentuh mengenai Polisi dan Pelan Strategik Penjagaan Paliatif Kebangsaan 2019-2030, Dr Dzulkefly berkata, ia terhasil daripada kejayaan bersama KKM dengan kerjasama agensi perkhidmatan penjagaan paliatif di seluruh negara.

Katanya, polisi dan pelan tersebut menggariskan tujuh strategi utama di bawah tiga teras iaitu Kesaksamaan, Kelestarian dan Kualiti dengan visi 'Menyediakan Perkhidmatan yang Penyayang Melalui Sistem Penjagaan Kesihatan'.

"Teras utama polisi ini adalah untuk meningkatkan integrasi perkhidmatan penjagaan paliatif selari dengan sistem penjagaan kesihatan semasa.

"Malah, setiap individu tanpa mengira latar belakang, tempat tinggal sama ada di kawasan bandar atau luar bandar, berkemampuan atau tidak, dapat terima penjagaan paliatif yang penuh penyayang dan memenuhi keperluan yang paling penting iaitu keselesaan dan maruah.

"Kerajaan serta pakar bidang penjagaan paliatif bersetuju bahawa inisiatif yang lebih efektif perlu segera dilakukan bagi memastikan semua rakyat Malaysia menerima penjagaan paliatif sebaik mungkin dan seterusnya menjamin keselesaan dan maruah mereka," ujarnya.

Untuk info penjagaan paliatif adalah perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menumpukan untuk meningkatkan kualiti kehidupan khususnya bagi individu yang sedang mempunyai penyakit yang mengancam nyawa dengan memberikan bantuan serta sokongan psikologi, sosial dan rohani kepada mereka bagi meringankan beban kesihatan serta tekanan yang dihadapi.

Dianggarkan setiap tahun lebih 100,000 rakyat Malaysia yang telah meninggal dunia memerlukan khidmat penjagaan paliatif dan menjelang tahun 2030 dianggarkan jumlah ini akan meningkat sehingga 230, 300 orang.