Terjun sungai elak dicekup imigresen

Iklan
PATI warganegara Indonesia yang ditahan Jabatan Imigresen Selangor di tapak semaian berhampiran Plaza Tol Sungai Buloh.

SUNGAI BULOH - Cubaan pekerja tapak semaian warga asing yang 'menggadaikan nyawa' terjun ke sungai semata-mata mahu mengelakkan diri daripada dicekup pihak berkuasa hanya sia-sia.

Ini kerana, kecekapan Jabatan Imigresen Selangor menerusi Ops Bersepadu di kawasan tapak semaian berhampiran Plaza Tol Sungai Buloh di sini pagi tadi berjaya mematahkan cubaan terbabit.

Iklan
Iklan

Pengarah Imigresen Selangor, Mohamad Shukri Nawi berkata, operasi bermula kira-kira jam 10.15 pagi itu melibatkan penahanan seramai 32 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia terdiri daripada 12 lelaki dan lima perempuan termasuk lima kanak-kanak.

"Anggaran umur PATI yang ditahan ialah 20 hingga 60 tahun (dewasa), manakala kanak-kanak pula berusia 1hingga 12 tahun terdiri daripada tiga lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Iklan

"Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal tanpa pas atau permit yang sah, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 disebabkan melanggar syarat pas yang telah dibenarkan," katanya hari ini.

Ada antara PATI menyorok bersama kanak-kanak di sebalik pokok pisang bagi mengelak ditahan pihak berkuasa.

Katanya, operasi tersebut disertai 37 anggota Jabatan Imigresen Selangor dan sembilan daripada Jabatan Pendaftaran Negeri.

Iklan

Jelasnya, kesemua PATI akan direman selama 14 hari mengikut Seksyen 51(5)(b) akta yang sama.

"Mereka akan dibawa ke Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Selangor bagi tujuan siasatan lanjut dan akan ditahan di Depot Imigresen Semenyih," katanya.

PATI warganegara Indonesia yang ditahan Jabatan Imigresen Selangor di tapak semaian berhampiran Plaza Tol Sungai Buloh.