MPSJ atasi banjir KTM Serdang

Iklan
Ean Yong Hian Wah (tiga kanan) bersama wakil agensi berkaitan turun ke lokasi yang didakwa seringkali berlaku banjir.

SERI KEMBANGAN - Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) akan mengetuai perbincangan dengan agensi berkaitan untuk mencari solusi mengatasi isu banjir di Lebuhraya Besraya berhampiran Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad, Serdang.

Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah berkata, punca kejadian banjir adalah dipercayai disebabkan kolam tadahan yang tidak sempurna.

"Apabila hujan lebat, air dari kolam ini akan melimpah dan lebuhraya ini akan banjir, ia memberi kesan buruk kepada penduduk dan pengguna jalan raya," katanya.

Beliau berkata, kolam tersebut berada di tanah milik persendirian dan masih belum diserahkan kepada kerajaan atau agensi berkaitan.

"Pemajunya juga dipercayai kurang mengambil berat tentang penyelenggaran kolam berkenan," katanya.

Beliau berkata, isu banjir ini sudah belarutan sejak 10 tahun lalu.

"Hampir setiap tahun berlaku kejadian banjir yang serius di kawasan ini," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Subang Jaya, Wong Yii Seang, SG Thamilarusu, wakil Lembaga Lebuhraya Malaysia, Jabatan Pengairan dan Saliran serta penduduk Bluewater Estate.

Hian Wah berkata, perbincangan bersama adalah untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan kadar segera.

"Saya telah meminta MPSJ untuk mengetuai perbincangan bersama agensi berkaitan berhubung isu ini," katanya.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Bluewater Estate, NG Chai Heng berkata,

Chai Heng berkata keluasan kolam tadahan itu dianggarkan kira-kira satu ekar.

"Keadaan kolam tersebut sebahagiannya telah dipenuhi pokok dan semak samun," katanya.

Beliau berkata, penduduk juga bimbang kawasan mereka akan banjir jika tidak ada tindakan segera bagi mengatasi isu ini.

"Kami difahamkan pemaju tersebut dalam likuidasi, kita berharap kerajaan dapat campur tangan dan mengambil tindakan tegas terhadap pemaju terbabit," katanya