Padah bersauh tanpa kebenaran

Iklan
Kapal yang ditahan kerana bersauh tanpa kebenaran.

KOTA TINGGI - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Tanjung Sedili menahan sebuah kapal Bulk Carrier di kedudukan 8.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Penawar di sini semalam.

Pengarah APMM Zon Tanjung Sedili, Kapten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal yang didaftarkan di Bridge Town, Barbados itu ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh.

Iklan
Iklan

"Kapal jenis bulk carrier dengan tanda nama 'OBE NORARES' ini ditahan kira-kira jam 1.30 petang ketika operasi pemeriksaan yang dilakukan kapal peronda Maritim Malaysia di perairan berkenaan.

"Ketika ditahan kapal berkenaan dikendalikan oleh 21 kru termasuk Nakhoda (Master) warganegara Syria yang berusia lingkungan 20 hingga 54 tahun," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Mohd Zulfadli berkata, kapal berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 491B(l) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu bersauh tanpa kebenaran.

"Jika didapati bersalah mereka boleh didenda tidak melebihi RM 100 ribu atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali," tegasnya.

Iklan

Pada hari yang sama, beliau berkata, APMM Zon Tanjung Sedili turut bertindak menahan sebuah bot kayu yang dipercayai menjalankan kegiatan 'teksi air' di perairan Tanjung Penyusop di sini.

"Bot tanpa penumpang ini dikendalikan dua lelaki warga Indonesia berusia 28 dan 34 tahun kira-kira jam 11.30 pagi di kedudukan 3.5 batu nautika Tenggara Tanjung Penyusop.

"Penahanan bot kayu seperti ini sedang giat dijalankan bagi menghadkan bot-bot asing daripada menjalankan sebarang perkhidmatan dalam had pelabuhan," katanya.