Keluarga mangsa culik terima panggilan palsu tuntut wang tebusan

Iklan

KOTA KINABALU - Dua panggilan telefon diterima oleh seorang daripada keluarga mangsa berhubung kes penculikan tiga nelayan warga Indonesia di kawasan perairan Tambisan, Lahad Datu 23 September lepas.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, panggilan berkenaan dilakukan kepada kakak seorang daripada mangsa culik itu pada 30 September lepas.

Iklan
Iklan

"Kakak mangsa yang menerima panggilan itu kini berada di Sandakan. Pihak suspek telah menuntut sejumlah wang tebusan untuk pembebasan ketiga-tiga mangsa culik berkenaan," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan Peringkat Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam jam 11.50 pagi 23 September lepas tiga nelayan warga Indonesia, Maharudi Lunani, 48, Muhammad Farhan, 27, dan Samiun Maneu, 27, diculik sekumpulan tujuh lelaki bersenjata menggunakan bot pam ketika menangkap udang di perairan Tambisan.

Iklan

Omar berkata, polis sedang giat berhubung dengan rakan sejawatan di Filipina dan pihaknya tidak akan melayan sebarang tuntunan oleh kumpulan penculik.

"Kita percaya kini ketiga-tiga mangsa culik berkenaan berada di suatu tempat yang tidak diketahui di Selatan Filipina," tambahnya. - Bernama

Iklan