Bergaduh dengan tunang, inspektor lepaskan tembakan
Iklan
Gambar hiasan
IPOH - Seorang anggota polis berpangkat inspektor ditahan kerana melepaskan tembakan dalam satu pertengkaran dengan tunangnya di Taman Merdeka di sini semalam.
Dalam kejadian jam 6.30 petang, pegawai lelaki berusia 29 tahun dari unit Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta itu datang ke rumah tunangnya seorang diri menaiki motosikal milik Unit Rondaan Bermotosikal (URB) jenis Kawasaki.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, telah berlaku perkelahian dan pergelutan antara mereka di rumah berkenaan menyebabkan pegawai terbabit melepaskan satu das tembakan.
"Tembakan itu telah mengenai kaki seekor anjing. Siasatan kita mendapati senjata api digunakan merupakan senjata yang dibekalkan untuk bertugas," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Iklan
Menurutnya, Jumaat lalu polis ada menerima laporan kehilangan pegawai terbabit yang sepatutnya bertugas di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Wang Kelian.
"Satu laporan kemudiannya dibuat pada 5 Oktober dan apabila siasatan dibuat didapati pegawai ini telah pergi ke rumah tunangnya berusia 20-an di Ipoh.
Iklan
Beliau berkata, lelaki terbabit berjaya ditahan dua anggota unit kereta peronda polis (MPV) yang dipanggil ke lokasi untuk membuat tangkapan.
"Polis akan mendapatkan perintah reman ke atas pegawai berkenaan hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.
Sinar Harian difahamkan ketika kejadian anggota terbabit yang berpakaian separuh uniform PGA sempat melarikan diri menaiki motosikal URB ke Jalan Labrooy sebelum berjaya ditangkap.
Hasil tangkapan itu, polis merampas motosikal digunakan, pistol jenis Walter P99 bersama dua megazine mengandungi 29 butir peluru.
Terdahulu, Razarudin menyempurnakan majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Ipoh yang baharu.
Bekas Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, 53, memulakan tugas sebagai Ketua Polis Daerah Ipoh yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Beliau mengambil alih tugas itu daripada Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah yang memangku jawatan ketua sejak Ogos lalu.
Turut diadakan majlis serah terima tugas jawatan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ipoh antara Norlima Abdullah dengan Adura Mohamed disaksikan Datin Zainah Othman.
Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah telah melaksanakan prosedur ditetapkan serta mengadakan perbincangan bersama keluarga mangsa berhubung kes buli serta dakwaan murid dipukul guru yang berlaku di Chemor dan Pengkalan Hulu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata, kedua-dua kes berkenaan bagaimanapun diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut susulan laporan yang dibuat pihak terbabit.
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/799864/edisi/perak/kes-buli-dakwaan-murid-dipukul-guru-ppd-laksana-prosedur-ditetapkan
Copyright disclaimer: Segala penyuntingan video adalah hak cipta terpelihara milik Sinar Harian.