Pemilik tanah Kampung Baru diberi keutamaan melabur, beli hartanah

Iklan
Khalid Abdul Samad - Foto ZAHID IZZANI

SHAH ALAM - Pandangan mengatakan pemilik dan waris tanah Kampung Baru akan mengalami kerugian dan tidak dapat menikmati hasil kenaikan hartanah itu selepas ia dibangunkan adalah silap.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, apabila kerajaan membeli dan membangunkan Kampung Baru, keutamaan diberikan kepada pemilik tanah untuk melabur atau membeli hartanah itu.

Iklan
Iklan

"Maknanya kalau mereka jual dan laburkan balik dengan membeli semula sebahagian daripada hartanah yang dibangunkan itu, maka mereka boleh menikmati peningkatan harga hasil daripada tanah itu dibangunkan.

"Ini perkara yang perlu diambil kira supaya tawaran yang dibuat oleh kerajaan tidak dipandang serong. Bukan kita nak bangunkan dan kita dapat keuntungan.

Iklan

"Sebenarnya kita bangunkan supaya setiap orang dapat keuntungan termasuk orang Melayu yang akan berpeluang untuk membeli hartanah di Kampung Baru dengan pertambahan bilangan unit rumah daripada 3,000 hingga 4,000 (pada masa ini) kepada 45,000 buah unit," katanya.

Beliau berkata demikian pada Wacana Sinar Harian Siri 131 bertajuk Kampung Baru: Kekal Atau Dibangunkan? yang berlangsung di Dewan Karangkraf di sini hari ini.

Iklan

Khalid berkata, isu dan persoalan pemaju yang dibangkitkan akan diusahakan oleh kerajaan dengan melantik mereka daripada kalangan bumiputera.

"Insya-ALLAH kita akan usahakan supaya kalau ada pemaju-pemaju Melayu yang nak bersama, mereka akan diberikan keutamaan.

"Kita semua faham bahawa ini merupakan Kampung Baru di mana bukan kita mahu hapuskan atau lenyapkan kampung itu tetapi mahu membangunkan kawasan penempatan Melayu sama seperti penempatan lain mengikut peredaran zaman.

"Kita tidak boleh kata penempatan orang Melayu ini perlu kekal begini dan jika diubah ia dianggap tidak menghargai warisan. Sepatutnya kita membangunkan penempatan dan masyarakat Melayu seiring dengan zaman tetapi dalam masa yang sama mengekalkan ciri-ciri kemelayuan.

"Ini yang dicadangkan iaitu kita akan adakan 24 ekar taman warisan Melayu. Kita akan letakkan rumah-rumah Melayu di atas taman warisan ini dengan ada pusat kebudayaan Melayu, ada tempat perniagaan kulinari masyarakat Melayu dan sebagainya.

"Keluasan 24 ekar ini sebenarnya besar daripada 150 ekar yang dibangunkan. Kita serap kos itu kerana mahu kekalkan warisan dan identiti masyarakat Melayu," katanya.