Kertas Kabinet Akta Pencemaran Rentas Sempadan siap 3 bulan

Iklan
Bee Yin (lima dari kanan) bersama peserta dan individu pada majlis perasmian pembukaan Pusat Eksplorasi STEM UTP dan perasmian penutup Program CCM STEM Up X UTP di UTP hari ini.

SERI ISKANDAR - Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc) akan menyiapkan kertas Kabinet berkaitan Akta Pencemaran Rentas Sempadan sebelum merangka draf undang-undang akta tersebut.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata, kertas Kabinet berkaitan akta tersebut dirangka bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil ke atas syarikat mahupun individu dari Malaysia yang melakukan kesalahan di luar negara hingga menyebabkan pencemaran di negara ini seperti jerebu dan pencemaran perairan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kertas Kabinet tersebut akan mengambil masa tiga bulan untuk disiapkan sebelum dibentangkan kepada Kabinet.

"Mestecc akan menyiapkan kertas Kabinet ini dan kemudiannya dibawa ke Kabinet untuk kelulusan sama ada ia boleh diteruskan dengan draf akta atau sebaliknya.

Iklan

"Saya telah berhubung dengan Peguam Negara menyatakan bahawa akta ini sangat perlu dan jika diluluskan Kabinet, akta tersebut perlu digubal secepat mungkin bersama-sama Jabatan Peguam Negara," katanya kepada pemberita selepas ditemui pada majlis perasmian pembukaan Pusat Eksplorasi STEM UTP dan Perasmian Penutup Program CCM STEM Up X UTP di Dewan Serbaguna Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UTP, Prof Ts Dr Mohamed Ibrahim Abdul Mutalib.

Iklan

Bee Yin berkata, sekiranya Kabinet tidak meluluskan, pihaknya akan melihat keperluan untuk meminda akta sedia ada bagi memasukkan undang-undang berkaitan kesalahan pencemaran rentas sempadan itu.

Dalam perkembangan berkaitan, Bee Yin yakin masalah jerebu yang melanda negara dijangka dapat diatasi hujung minggu ini disebabkan perubahan monsun.

Sementara itu, mengenai desakan pembangkang supaya beliau meletakkan jawatan sebagai menteri kerana gagal menyelesaikan masalah jerebu, Bee Yin berkata, situasi jerebu yang melanda negara berpunca dari Indonesia dan sebarang tindakan undang-undang harus diambil oleh kerajaan Indonesia.

Menurutnya, pembangkang perlu tampil dengan cadangan lebih konstruktif pada masa akan datang.

"Semua tahu masalah jerebu ini berlaku setiap tahun dan saya mengalu-alukan sebarang cadangan sama ada daripada pihak pembangkang mahupun kerajaan untuk dipertimbangkan.

"Jika cadangan itu baik, kita akan cuba menerima untuk dilaksanakan," katanya

Kelmarin, Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong dalam kenyataan media berkata, Bee Yin sepatutnya melepaskan jawatannya kerana syarikat perladangan suaminya akan berlaku konflik kepentingan yang boleh dipertikaikan oleh masyarakat.

Gesaan itu dibuat kerana suaminya didakwa mempunyai anak syarikat perladangan kelapa sawit di Indonesia yang menjadi punca jerebu di negara ini.