Isu Kampung Baru: Kerajaan mungkin tawar harga lebih tinggi

Iklan
Suasana di Kampung Baru berlatarbelakangkan bandaraya Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI

KUALA LUMPUR - Kerajaan mungkin akan menawarkan harga lebih tinggi kepada pemilik dan waris tanah di Kampung Baru berbanding nilai yang ditawarkan pada sesi town hall pembangunan kawasan itu, kelmarin.

Memetik laporan sebuah akhbar, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad sekali lagi mengulangi kenyataan beliau semalam untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan dan memuktamadkan harga sebenar tawaran bagi tanah itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sekiranya berlaku kenaikan bagi tawaran harga untuk setiap kaki persegi, jumlahnya hanyalah sekitar dua hingga lima peratus kerana kerajaan terikat dengan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

"Saya akan umumkan harga tawaran muktamad selepas bertemu Dr Mahathir. Kalau Dr Mahathir setuju supaya kita membeli tanah Kampung Baru pada harga dua hingga lima peratus lebih tinggi, bolehlah.

Iklan

"Namun sekarang ini saya terikat dengan penilaian harga dibuat JPPH sebelum ini (RM850 sekaki persegi),” ketika ditemui pemberita pada majlis penyerahan kunci rumah mampu milik Residensi Wangsamas di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembangunan Kampung Baru bukan omong kosong: Menteri

Iklan

Mengenai kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang membandingkan nilai tawaran harga tanah Kampung Baru dengan harga tanah di Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) yang mencecah RM3,000 untuk satu kaki persegi, Khalid berkata, beliau enggan mengulas lanjut.

"Saya tidak mahu cakap banyak kerana dia (Najib) hanya menawarkan RM300 bagi satu kaki persegi (tanah Kampung Baru) dan sekarang saya umumkan tawaran kerajaan untuk membeli tanah tersebut dengan harga RM850.

"Tanah untuk projek Mass Rapid Transit (MRT) lain pengiraannya kerana status atau syarat tanah berkenaan tidak lagi tertakluk kepada tanah rizab Melayu. Oleh itu, harga ditetapkan pemaju mengambil kira pasaran semasa yang sebenar.

"Pihak MRT sudah membuat kajian analisis pasaran dan menawarkan harga yang sedemikian kerana tanah berkenaan bebas dari status dan sekatan Tanah Rizab Melayu,” katanya.

Suasana di Kampung Baru berlatarbelakangkan bandaraya Kuala Lumpur. -Foto Sinar Harian ZAHID IZZANI