Arah angin, titik panas punca IPU tahap bahaya di Sri Aman

Iklan
sri aman

KUCHING - Peningkatan drastik bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman di sini sehingga melebihi paras bahaya adalah disebabkan peningkatan asap yang dibawa angin dari Kalimantan, Indonesia apabila banyak titik panas dikesan.

Pemangku Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sarawak, Ahmad Saifful Salihin berkata, lokasi Sri Aman yang mempunyai penduduk sekitar 100,000 orang pula berada paling hampir dengan negara jiran berkenaan menyebabkannya paling teruk terjejas.

Iklan
Iklan

Beliau tidak menolak kemungkinan kualiti udara di Sri Aman yang kini mencatatkan bacaan IPU tertinggi dalam negara akan semakin teruk, antara lain sekiranya bilangan titik panas di Kalimantan terus meningkat.

"Jadi faktor penentu kepada kualiti udara di sini (Sri Aman) adalah arah angin dan juga bilangan titik panas di Kalimantan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Iklan

Sri Aman setakat jam 4 petang tadi mencatat bacaan IPU 409.

Bacaan IPU kawasan berkenaan melonjak secara drastik sejak pukul 8 pagi tadi dengan mencatatkan 402, sebelum terus meningkat pada paras bahaya, berbanding 12 tengah malam semalam hanya 236.

Iklan

Selasa lalu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah menyatakan kesediaan untuk sebarang kemungkinan pengisytiharan darurat bencana jerebu sekiranya bacaan IPU di Sri Aman melebihi 500.

Selain jerebu rentas sempadan, isu kualiti udara di Sri Aman turut terjejas dengan kebakaran di tiga kawasan di daerah berkenaan yang meliputi kawasan seluas kira-kira 200 hektar.

Menurut Agensi Pengurusan Bencana Negara dalam satu kenyataan hari ini, keluasan kebakaran yang belum dapat dipadamkan hanya berbaki kira-kira 80 hektar selepas operasi memadam masuk hari kelima hari ini.- Bernama